fbpx
Nur Nadia ketika sidang akhbar di lobi pekarangan Mahkamah Klang, hari ini.

‘Anak-anak tidur pakai baju arwah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Kerinduan anak-anak terhadap Allahyarham Amirul Hafiz Omar begitu mendalam sehingga anak sulungnya tidur dengan memakai baju arwah malam tadi.

Suasana meruntun jiwa itu dikongsikan isteri Allahyarham, Nur Nadia Abdul Majid yang menceritakan detik-detik pilu anak-anaknya berdepan kehilangan bapa tercinta.

Menurut Nur Nadia, dia tidak mahu anak sulungnya yang berusia sembilan tahun terus diselubungi rasa bersalah berikutan kematian Allahyarham Amirul Hafiz yang dalam perjalanan membeli buku sekolah sewaktu kemalangan tersebut berlaku.

“Semalam anak sulung tidur pakai baju arwah. Saya tak nak dia rasa bersalah sebab arwah pergi untuk mencari buku teks untuknya.

“Saya tak nak dia rasa bersalah atau dibuli di sekolah nanti. Itu yang saya takut, saya fikir itu sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Klang, di sini hari ini.

Allahyarham Amirul Hafiz, 33, maut dalam keadaan tragis selepas melambung sebelum tercampak atas bumbung sebuah kereta setelah dirempuh kenderaan lain yang dipandu lelaki dipercayai mabuk dan khayal dadah di Jalan Raya Barat, di sini pada Ahad lalu.

Bercerita lanjut, Nur Nadia berkata, tiga anaknya yang berusia sembilan, tujuh dan dua tahun turut dibawa menziarahi kubur arwah bapa mereka semalam.

“Anak bongsu cakap, ‘Papa kat dalam, papa kat dalam (kubur). Saya harap anak-anak kuat dan saya perlukan banyak sokongan untuk (menjaga) emosi anak-anak,” ujarnya.

Tambahnya, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat melawat keluarganya di Taiping, Perak semalam dan sekali lagi pada pagi ini untuk khidmat kaunseling kepada keluarganya.

Ketika ini, dua anak Nur Nadia berada di kampung, manakala anak bongsu tinggal bersamanya di Shah Alam.

“Dua anak saya masih belum bersekolah lagi. Saya mahu menguruskan pertukaran dari Sekolah Rendah Padang Jawa ke kampung supaya urusan lebih mudah. Mereka berada dekat dengan ahli keluarga.

“Lagipun, itu memang amanat arwah suami sekiranya berlaku apa-apa ke atas dirinya dia minta balik dan tinggal di kampung. Jangan duduk sini (Shah Alam) sebab tak ada siapa,” ujarnya.

Nur Nadia yang bekerja sebagai penghantar bungkusan sambilan berkata, kehilangan suaminya meninggalkan duka yang begitu mendalam, namun tekad memberi kekuatan kepada anak-anak.

“Alhamdulillah, saya sangat-sangat bersyukur, mungkin ada hikmahnya. Saya percaya dan terima keadaan ini, tetapi saya yakin ada hikmah semua ini, ya Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN