fbpx
NURNASHREN terpaksa menggunakan kerusi roda akibat penyakit gout yang dihadapi selama 17 tahun lalu. – MUHAMMAD ZIKRI

‘Saya OKU, tidak lagi mampu buat kerja berat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Kehidupan seorang lelaki yang menderita penyakit gout sejak usia remaja semakin rumit apabila dia sukar untuk bekerja lebih-lebih lagi selepas turut terlibat dalam kemalangan jalan raya pada lapan tahun lalu.

Nurnashren Nasarodin, 33, berkata, penyakit gout yang mula menyerang ketika dia berusia 16 tahun itu menyebabkan perge­rakannya sering terbatas, malah menjejaskan keupayaannya untuk bekerja seperti individu lain.

Menurutnya, keadaan itu bertambah buruk apabila dia terlibat dalam kemalangan pada tahun 2018 ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja sebagai pengawal keselamatan.

Katanya, kemalangan itu meng­akibatkan tangan kiri dan kaki kanannya patah sehingga memerlukan dua pembedahan.

“Akibat kecederaan itu, saya kini dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) dan tidak lagi mampu melakukan kerja berat seperti dahulu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Indah di sini.

Tambahnya, sebelum ini dia merupakan pelajar di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang, Perak dan mengambil jurusan penyelenggaraan bangunan, namun tidak berjaya menamatkan pengajian.

“Ketika itu saya terpengaruh dengan perniagaan pemasaran berbilang tingkat (MLM) hingga mengabaikan pelajaran, sedangkan hanya tinggal dua semester lagi untuk tamatkan pengajian,” katanya.

Nurnashren berkata, penyakit gout yang dialaminya sering menyerang secara tiba-tiba se­hingga menyebabkan dia terpaksa mengambil cuti panjang kerana tidak mampu berdiri lama.

Katanya, kini dia bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran makanan ‘shellout’ di Bandar Pontian kerana minatnya dalam bidang masakan termasuk makanan barat.

“Namun keadaan kesihatan yang tidak menentu menyebabkan saya terpaksa berhenti sementara dan hanya akan kembali bekerja selepas Hari Raya jika keadaan kesihatan mengizinkan,” katanya.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, sebelum ini dia menerima bantuan RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun jumlah itu dikurangkan kepada RM300 selepas dia bekerja.

“Jika saya dapat menamatkan pengajian dahulu, mungkin saya sudah menjadi juruteknik dengan pendapatan tetap untuk membantu keluarga.

“Sekarang, adik bongsu saya yang berusia 22 tahun terpaksa membantu membayar sewa rumah sebanyak RM600 sebulan di kawasan Perindustrian SILC, Gelang Patah,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin tampil membantu meringankan beban Nurnashren boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional miliknya bernombor 0112241100044349.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN