ALOR SETAR – Seorang bekas penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu mengenai laporan perbelanjaan berjumlah lebih RM33,000.
Tertuduh, Faizal Zailan, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Faizal didakwa mengemukakan dokumen Laporan Perbelanjaan Peruntukan Kerajaan B02 bagi November hingga Disember 2023 Penyelaras DUN Bakar Arang bertarikh 1 Januari 2024 berjumlah RM33,850 kepada Pembantu Tadbir Kewangan, DUN dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.
Tertuduh yang digugurkan daripada jawatan itu didakwa mempunyai sebab mempercayai dokumen tersebut mengandungi butir matan palsu mengenai Ringkasan Laporan Peruntukan Khas Perbelanjaan Peruntukan Penyelaras DUN 2023, Penyelaras DUN Bakar Arang, dengan senarai penerima bantuan tidak menerima wang itu.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Penyelaras DUN Bakar Arang, Sungai Petani pada 7 Januari 2024.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah tersebut atau RM10,000, mana lebih tinggi di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Pegawai Pendakwa SPRM Kedah, Mohd. Zulfadli Azharudin mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Mohd. Amirul Ramli merayu jumlah lebih rendah kerana anak guamnya tidak lagi bertugas di Pejabat Penyelaras DUN.
Tertuduh menjalankan perniagaan sendiri dengan pendapatan tidak tetap dan menanggung isteri serta anak berusia setahun.
Hakim Priscilla menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 11 Mei ini.- KOSMO! ONLINE














