SHAH ALAM – Malaysia kini berada dalam mod krisis berikutan konflik yang melanda Asia Barat ketika ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, situasi itu berlaku susulan kenaikan kos tenaga melebihi 100 peratus dalam beberapa bulan kebelakangan ini, sekali gus memberi impak kepada banyak industri.
“Sebentar tadi dalam Majlis Tindakan Ekonomi Kebangsaan (MTEN), Kabinet telah dimaklumkan mengenai situasi semasa ketika ini. Dimaklumkan bahawa kos tenaga telah meningkat lebih 100 peratus dalam tempoh beberapa bulan ini. Hal ini menyebabkan banyak industri yang terkesan daripada apa yang berlaku.
“Banyak negara telah beroperasi dalam mod kecemasan misalnya Filipina. Thailand dan Vietnam pula mengalami krisis kekurangan petrol dan diesel,” katanya pada majlis sumbangan kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMKJ) Chan Wa, di sini, hari ini.
Beliau menambah, bekalan minyak di Malaysia masih mencukupi sehingga Mei ini, tetapi boleh terganggu sekiranya peperangan di Iran berlanjutan dan menggesa rakyat mengamalkan penjimatan tenaga, antaranya dengan menggunakan pengangkutan awam dan berkongsi kenderaan.- KOSMO! ONLINE














