LONDON – Tottenham Hotspur sanggup untuk mengeluarkan dana yang besar bagi memastikan Roberto De Zerbi bersetuju untuk mengemudi pasukan itu selepas pemecatan Igor Tudor.
Biarpun menerima tentangan daripada beberapa kelompok penyokong, pihak pengurusan Spurs percaya bahawa De Zerbi adalah calon terbaik untuk memastikan mereka mampu mengelak daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan.
De Zerbi dilaporkan keberatan untuk menerima tawaran berkenaan sebelum musim ini berakhir, namun Spurs berharap kontrak mewah untuk perjanjian selama lima tahun sudah disiapkan untuk memujuk pengendali dari Itali.
Kontrak berkenaan dikatakan cukup lumayan untuk membolehkan De Zerbi muncul sebagai salah seorang pengurus yang menerima gaji mingguan paling tinggi di Liga Perdana Inggeris.
Sumber memberitahu, Spurs tidak bersedia untuk mendapatkan khidmat pengurus interim dan kembali memburu De Zerbi sebaliknya mahu mendapatkan khidmat jurulatih Marseille itu dalam tempoh segera.
Selain De Zerbi, pihak pengurus Spurs juga dikatakan mengadakan rundingan bersama pengendali Fulham, Marco Silva, namun pengurus itu bertegas untuk kekal di Craven Cottage.
Spurs ketika ini berada di kedudukan ke-17 ketika perlawanan musim ini berbaki tujuh aksi dan mereka hanya memiliki kelebihan satu mata berbanding pasukan di zon penyingkiran. – AGENSI














