GEORGE TOWN – Doa dan restu ibu dan ayah merupakan senjata paling utama mengiringi kejayaan si anak dalam memperoleh keputusan cemerlang Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
Demikian menurut calon-calon SPM 2025 dari Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Bukit Jambul di sini, yang memperoleh kombinasi semua A ketika ditemui di sekolah itu, hari ini.
Bagi Ahmad ‘Aqeel Ibrahim, 17, dia berjaya membuktikan kejayaannya dengan memperoleh semua A (A+, A, A-) bagi lapan mata pelajaran yang didudukinya itu.
Menurut anak bongsu daripada dua beradik itu, dia merupakan pelajar ‘lompat kelas’ setelah berjaya menduduki ujian kohort ketika berusia lima tahun untuk layak bersekolah di tahun 1 pada usia enam tahun.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha saya selepas bangkit dari kegagalan dalam percubaan SPM lalu. Selalu hanya pergi kelas tambahan dekat sekolah dan hanya mengikuti kelas tuisyen bersama ibu dan ayah di rumah.
“Bagi saya, kena ada hubungan baik dengan cikgu di sekolah dan paling penting kena ada doa mak dan ayah, itu yang membawa kejayaan saya pada hari ini,” katanya di sini, hari ini.

Ahmad A’qeel memberithu lagi, dia langsung tidak berdepan masalah menyesuaikan diri dengan rakan yang berbeza umur dengannya selain memilih hujung minggu sebagai masa paling sesuai untuk mengulangkaji pelajaran.
Akuinya lagi, dia memperoleh keputusan sederhana dalam peperiksaan percubaan SPM termasuk meraih C dan D untuk mata pelajaran Pendidikan Islam dan Sejarah.
Sementara itu, Muhammad Erdien Danish, 18 yang merupakan bekas Ketua Pengawas di SMK Bukit Jambul pula memberitahu, dia juga percaya restu ibunya, Zainab Sal Hamid, 44 dan ayah, Muhammad Idris Sulaiman 49, menjadi ‘ubat’ kejayaan buat dirinya dalam memperoleh 10A dalam semua mata pelajaran.
“Pertama, saya rasa kita kena hormat ibu bapa kerana kalau tiada restu mereka, Allah tak akan restu apa yang kita buat. Disebabkan itu, saya selalu minta mereka doakan untuk kejayaan saya.
“Saya ikut nasihat ayah, dia sarankan saya ulangkaji pada pukul 4.30 pagi, selepas bangun dari tidur. Itu waktu yang terbaik. Saya mula serius dalam mengulangkaji pelajaran sejak dari tingkatan empat dan akan mengambil masa kira-kira tiga hingga empat jam sehari,” katanya yang merupakan anak tunggal. -KOSMO! ONLINE














