JASIN – Polis sedang menyiasat satu video tular memaparkan seorang lelaki dipercayai mabuk selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Simpang Kerayong di sini awal pagi tadi.
Dalam video berdurasi 22 saat itu, lelaki berkenaan dilihat terhuyung-hayang berhampiran lokasi kejadian, manakala sebuah van dipercayai dipandunya terbalik di tepi jalan.
Rakaman tersebut turut merakam suara seorang wanita yang dipercayai perakam video berkenaan.
“Korang tengok ni kawan korang… macam-macam buat hal, habis dia bawa van dalam keadaan macam tu. Kau tengok kuat bau dia,” katanya dipercayai merujuk kepada keadaan pemandu berkenaan yang sedang mabuk.
Sehingga pukul 10 pagi tadi, video tersebut meraih lebih 1,600 reaksi, 579 komen serta dikongsi sebanyak 741 kali di media sosial.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan awal berkaitan kejadian tersebut.
“Awal pagi tadi, polis mengesan video tular di Facebook sebelum sepasukan anggota trafik bersama MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin digerakkan ke lokasi. Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, didapati pemandu serta kenderaan tersebut telah tiada,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu terlibat.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan.- KOSMO! ONLINE














