JOHOR BAHRU – Polis sedang giat mengesan dua kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu di Kampung Pasir, Tampoi, di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, kedua-dua mangsa dikenali sebagai Syamir Zikri Abdullah, 12, dan Aiman Haikal Kuzainai, 11.
Menurutnya, kedua-dua kanak-kanak tersebut kali terakhir dilihat pada 27 Mac lalu kira-kira pukul 12 tengah hari di rumah bernombor 1826, Jalan Mata Kucing 1, Kampung Pasir.
Katanya, kehilangan mereka disedari ahli keluarga sebelum laporan polis dibuat bagi membantu usaha mengesan lokasi kedua-dua mangsa.
“Syamir Zikri mempunyai ketinggian kira-kira 91 sentimeter dengan berat 30 kilogram, berkulit gelap, berbadan kurus serta berambut lurus pendek berwarna hitam.
“Ketika kali terakhir dilihat, dia memakai baju hijau pekat berbelang hitam serta seluar tracksuit hitam,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, seorang lagi kanak-kanak, Aiman Haikal pula berketinggian sekitar 90 sentimeter dan berat 33 kilogram, berkulit cerah serta berbadan berisi dengan rambut lurus pendek berwarna hitam.
“Dia dilaporkan memakai baju hijau putih dan seluar pendek berwarna oren ketika kali terakhir dilihat,” ujarnya.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kedua-dua kanak-kanak tersebut supaya tampil membantu siasatan.
Orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat, Insp. Mun Nyanggau di talian 019-2574051 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5561222.
Maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu mengesan kedua-dua kanak-kanak berkenaan.-KOSMO! ONLINE














