PETALING JAYA – Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memastikan akses pendidikan terbuka luas kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sentiasa tersedia termasuk melalui institusi pengajian tinggi awam (IPTA), swasta (IPTS), politeknik dan kolej komuniti.
Menurutnya, permohonan melalui UPU kini telah dibuka bagi membolehkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 merancang hala tuju pendidikan masing-masing.
“Tahniah dan syabas kepada semua calon yang menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 hari ini.
“Kepada yang berjaya, teruskan melangkah dengan tekad dan jangan cepat berpuas hati. Ini hanyalah permulaan kepada perjalanan yang lebih besar,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Ujarnya, bagi pelajar yang kurang mencapai sasaran diminta agar jangan berputus asa.
“Kejayaan tidak ditentukan oleh satu keputusan, tetapi oleh usaha berterusan, disiplin dan keazamani,” jelasnya.
Beliau menegaskan, KPT komited menyediakan pelbagai laluan pendidikan agar setiap pelajar berpeluang membina masa depan yang lebih baik.
“Masa depan anda masih panjang dan gunakan peluang yang ada sebaiknya. ” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














