PETALING JAYA – Seramai 78 pesalah telah menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM), semalam selepas didapati melakukan kesalahan pembuangan sampah kecil di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menerusi satu hantaran di laman Facebook berkata, pelaksanaan PKM merupakan sebahagian daripada strategi penguatkuasaan bersepadu bagi membanteras tabiat membuang sampah di merata-rata tempat termasuk di jalan awam.
Katanya, pesalah terlibat diarahkan menjalankan kerja-kerja pembersihan melibatkan siar kaki, jalan awam, sistem saliran (scupper drain), tandas awam serta kawasan pantai.
Tambahnya, operasi tersebut dilaksanakan secara serentak di enam negeri iaitu Perlis, Kedah, Wilayah Persekutuan, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa sehingga kini Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam telah mengeluarkan sebanyak 1,342 Notis Pemberitahuan Kesalahan.
“Daripada jumlah itu, seramai 1,058 merupakan warganegara tempatan, manakala 284 lagi melibatkan warga asing. Tangan yang membuang sampah, tangan tersebut yang perlu membersihkan,” katanya.
Jelasnya, jika tabiat membuang sampah kecil ini tidak dibendung, ia boleh menyebabkan longkang tersumbat sekali gus menjejaskan keselesaan komuniti serta meningkatkan risiko banjir kilat di kawasan bandar. – KOSMO! ONLINE














