fbpx
Dari kiri: Mohamed Yazid, Nor Azah, Mohd. Hafiz dan Abdul Razak melabur kira-kira RM500,000 untuk membangunkan Kafe 3 Sekawan di Seri Manjung, Perak.

Kafe 3 Sekawan di Seri Manjung, langkah permulaan sebuah jenama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MANJUNG – Persahabatan yang dijalin memberi kekuatan kepada empat sekawan dari Pulau Pinang untuk mencari rezeki jauh dari kampung halaman mereka iaitu di Seri Manjung, Perak.

Nor Azah Abdul Aziz, 52; Abdul Razak Mydin Pitchay, 44; Mohd. Hafiz Mohd. Hussin, 41; dan Mohamed Yazid Mohamed Ekebal, 38, bagaimanapun yakin keputusan diambil mereka adalah tepat.

Ini kerana, mereka telah pun memiliki pengalaman berniaga di Pulau Pinang terutamanya dalam bidang makanan dan minuman (F&B), antaranya melibatkan penyediaan juadah bagi kantin kilang di sana.

Justeru bagi mereka, pembukaan Kafe 3 Sekawan di sini me­rupakan satu kemajuan untuk karier mereka dalam bidang F&B.

Menurut Mohd. Hafiz, mereka masing-masing memainkan pe­ranan tersendiri dalam memba­ngunkan kafe tersebut yang mana dia mencurahkan kepakaran dimiliki dalam aspek operasi dan pemasaran perniagaan.

Katanya, Mohamed Yazid dan Abdul Razak turut menggalas tugas dalam melicinkan operasi serta pemasaran kafe, manakala Nor Azah bertanggungjawab dalam aspek pengurusan.

“Kafe 3 Sekawan mula beroperasi pada Julai tahun lalu setelah pemilik asal premis ini yang ketika itu membawa nama 21 Grilled menawarkan peluang perniagaan kepada kami.

“Setelah berbincang dan meneliti tawaran, kami bersepakat bahawa inilah masanya untuk menceburkan diri dalam perniagaan kafe di luar Pulau Pinang,” katanya kepada Kosmo! di premis berkenaan baru-baru ini.

Antara gabungan hidangan popular yang menerima permintaan tinggi di Kafe 3 Sekawan.

Mohd. Hafiz berkata, sudah tiba masanya bagi mereka untuk beralih daripada perniagaan kantin ke sebuah kafe di lokasi yang mempunyai ramai pelanggan seperti Seri Manjung.

Bagi mempersiapkan Kafe 3 Sekawan agar dapat menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, mereka melaburkan sekitar RM500,000.

“Banyak yang kami lakukan bagi mempersiapkan kafe ini, termasuklah dari segi hiasan dalaman, namun yang paling penting sudah tentulah menu Kafe 3 Sekawan.

“Di sini, kami menawarkan pelbagai jenis makanan terma­suklah juadah tempatan serta Barat. Menu paling popular atau ‘best seller’ di kafe ini adalah tom­yam, ayam penyet, ikan siakap tiga rasa serta burger.

“Bukan itu sahaja, pada Ramadan lalu kami turut menawarkan menu masakan kampung se­perti ayam atau daging lemak cili api, ayam kicap serta gulai ikan jenahak, selain pelbagai jenis ulam-ulaman,” katanya.

Ujarnya, Kafe 3 Sekawan turut menawarkan pelbagai seleksi minuman termasuklah Hayzz Coffee hasil olahan mereka sendiri yang disediakan oleh tiga orang barista.

Sementara itu, Nor Azah berkata, mereka kini dibantu oleh 11 kakitangan sepenuh masa yang terdiri daripada anak tempatan bagi operasi harian.

“Pada hujung minggu terutamanya Jumaat, Sabtu dan Ahad, kami menambah bilangan kakitangan sehingga mencecah sekurang-kurangnya 15 orang ke­rana restoran ini biasanya akan dipenuhi pelanggan.

“Bagi memastikan kualiti makanan terus dijamin, Kafe 3 Sekawan menggunakan khidmat beberapa orang cef yang memberi tumpuan terhadap kepakaran masing-masing seperti makanan tradisional dan Barat.

“Selain itu, kami turut me­ngadakan perbincangan dengan vendor-vendor tempatan agar mereka dapat memeriahkan Kafe 3 Sekawan menerusi pe­nganjuran acara, sekali gus mempromosikan perniagaan ini,” katanya.

Nor Azah menunjukkan sebahagian daripada hidangan yang boleh dipilih pelanggan termasuk menu ala Barat.

Ujarnya, untuk perancangan masa hadapan, mereka melihat perniagaan itu berpotensi untuk dikembangkan lagi ke kawasan lain terutamanya di negeri asal mereka di Pulau Pinang.

“Kami berharap Kafe 3 Sekawan dapat dijadikan satu jenama atau francais dan dikembangkan ke lokasi-lokasi berpotensi yang lain.

“Kami bercadang untuk membuka satu cawangan baharu pada tahun hadapan. Bagaimanapun, kami tidak mahu kualiti servis dan makanan menjadi mangsa akibat cita-cita ini dan ia akan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Yazid berkata, mereka mahu mengekalkan konsep servis pantas (quick service) di restoran tersebut kerana ia antara aspek yang memberi kepuasan dalam kalangan pelanggan, selain kua­liti makanan.

“Banyak lagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang perlu dilakukan kerana sudah menjadi matlamat kami agar Kafe 3 Sekawan dikenali sebagai sebuah perniagaan yang berkualiti.

“Jika pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan ditawarkan, maka mereka akan kembali ke kafe ini, sekali gus memboleh­kan Kafe 3 Sekawan berkembang maju dengan sokongan mereka,” katanya.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN