FIKIRANNYA ligat mencari gambar menarik untuk dibidik tatkala pertama kali mengetahui pertandingan fotografi bertemakan Nature Unlock Human Lockdown anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di laman web.
Memandangkan pada waktu itu negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bagi mengekang penularan Covid-19, pergerakan Norarshikin Maakim, 47, sedikit terbatas dan hanya boleh merakam gambar sekitar Selangor.
Akui mahu membidik gambar paling menarik untuk menyertai pertandingan tersebut, namun ibu kepada tiga cahaya mata itu enggan menjadi antara punca kepada penularan kluster baharu.
Selepas mengambil kira beberapa faktor, wanita yang lebih senang disapa Arshikin itu mengambil keputusan meninjau kawasan Pantai Kelanang, Banting.
“Semuanya berlaku sekitar bulan September tahun lalu apabila saya terbaca mengenai pertandingan fotografi anjuran PBB. Pertandingan dibuka kepada semua jurugambar seluruh dunia yang mana mereka akan memilih 13 gambar terbaik untuk menghiasi kalendar keluaran khas.
“Tema ditetapkan pada waktu itu agak mencabar, Nature Unlock Human Lockdown. Maksudnya apabila manusia ‘terpenjara’, haiwan berkeliaran di luar.
“Mereka mahu gambar menunjukkan apa yang dilakukan haiwan apabila manusia terkurung di dalam rumah akibat pandemik,” katanya.

Petang itu ketika jam menunjukkan tepat angka 5, Arshikin bergerak dari kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur ke lokasi tujuan.
Matanya tajam memerhatikan suasana persekitaran sambil kamera yang tergantung pada leher diletakkan pada mood sedia.
Di sebalik kumpulan manusia yang bersantai di tepi pantai, Arshikin terpandang aksi sekumpulan monyet yang keluar mencari makan.
“Monyet-monyet di situ sangat jinak. Saya tertarik apabila melihat haiwan itu beratur mengambil makanan daripada pengunjung yang datang di pantai itu.
“Ada yang minum air di tengah jalan, ada juga yang mencuba pelitup muka yang ditinggalkan di kawasan sekitar. Momen tersebut semuanya berjaya dirakam dan kemudian dihantar untuk penyertaan,” ceritanya.
Memandangkan penyertaan tersebut adalah di peringkat dunia dan disertai oleh ribuan jurugambar profesional lain, Arshikin tidak mengharapkan apa-apa dan menyertainya sekadar suka-suka.
Tanpa disangka, tuah menyebelahi dirinya apabila pada November tahun lalu, pihak PBB mengumumkan gambar seekor monyet mencuba pelitup muka hasil bidikan Arshikin tersenarai antara 13 gambar terbaik daripada 3,000 penyertaan dan layak diabadikan dalam kalendar khas PBB.
Kejayaannya itu menjadikan Arshikin berjaya mengharumkan nama negara dan menempa nama di peringkat antarabangsa apabila hasil kerjanya yang dicetak pada kalendar itu bakal dipertontonkan kepada pemimpin dunia dalam satu persidangan penghujung tahun ini.
Bukan itu sahaja, Arshikin juga memenangi hadiah khas dalam pertandingan Mellow Art Award 2020 bersempena pertandingan seni dianjurkan oleh negara Jepun tahun lalu. Menerusi pertandingan itu, karya Arshikin terpilih daripada 13,000 gambar yang dihantar peserta dari seluruh dunia.

Di sebalik kejayaan demi kejayaan yang berjaya dirangkulnya, mungkin ada yang menyangka dia sudah lama berkecimpung di dalam dunia fotografi. Begitupun, wanita yang berkelulusan dalam pengurusan perniagaan itu hanya mula mengasah minat dan bakatnya dalam dunia fotografi pada tahun 2013, iaitu ketika berusia 40 tahun.
“Sebelum ini saya bekerja dalam bidang berkaitan kelulusan. Disebabkan mahu fokus pada anak-anak, saya mengambil keputusan berhenti kerja.
“Bagaimanapun, sebaik anak-anak semakin membesar, saya mengambil keputusan melakukan sesuatu yang disukai iaitu mendalami fotografi, memandangkan dahulu saya merupakan individu gemar merakam memori rakan-rakan dan keluarga menggunakan kamera pemberian bapa,” ujarnya.
Dek kerana minat dan ingin mendalami ilmu fotografi menyebabkan dia mencuba nasib mendaftarkan diri dalam kurus di Giatmara, Selayang.
Akui perasaan segan dan kurang yakin bercampur baur ketika pertama kali menjejak kaki ke pusat kemahiran itu, namun demi minat dan tuntutan ilmu, Arshikin menggagahkan diri.
“Pada waktu itu segan juga rasanya apabila saya lihat semua pelajar di pusat latihan itu terdiri daripada golongan remaja. Saya bertanyakan kepada pengurus di pusat itu ketika itu adakah umur seperti saya layak menyertai kursus yang ditawarkan.
“Alangkah terkejutnya saya apabila diberitahu kursus di situ terbuka kepada semua lapisan umur,” ceritanya.

Sekadar mempunyai kemahiran dalam mengendalikan kamera analog menggunakan filem, Arshikin berjaya menyesuaikan diri menggunakan kamera digital dalam waktu singkat.
Lantaran itu sebaik berjaya menamatkan kursus teknologi fotografi selama enam bulan pada tahun 2013, Arshikin menyambung semula pengajian dalam kursus Advanced Digital Imaging pada tahun 2016.
Tidak cukup dengan itu, pada tahun 2018, Arshikin berkelana ke negara orang dengan mengambil kursus jangka pendek Certificate On Creative Flower Photography di Wimbledon Art Studio, London sebelum menyambung pula Certificate Advanced Retouching With Photoshop di University Art of London, Central Saint Martin College of Art & Design, London pada tahun 2019.
Berbekalkan ilmu dikutip itu, Arshikin mampu meningkatkan nilai tambah pada kemahiran dimiliki sekali gus membezakan dia dengan jurugambar sedia ada yang lain.
Tidak hanya membidik gambar perkahwinan dan produk pelanggan, Arshikin mahir dan menawarkan perkhidmatan membaiki foto-foto lama yang rosak dan kotor.
“Gambar lama ada nilai tersendiri. Bagaimanapun, jika gambar berusia berdekad lamanya, pasti ada kerosakan atau kekotoran pada kertas.
“Biasanya foto-foto lama terutamanya sekitar tahun 1950 hingga 1960-an banyak yang rosak dan kotor. Gambar itu masih diinginkan oleh individu kerana ada nilai sentimental tersendiri.
“Bukan itu sahaja, mengambil contoh gambar lama seperti potret biduanita negara, Saloma yang tidak bertudung, ia boleh diperbaharui dan dikenakan tudung menggunakan teknik suntingan.
“Biasanya proses suntingan gambar ambil masa antara 30 minit hingga dua jam sekeping dengan caj bermula RM50 bergantung pada kerosakan,” terangnya.
Meraih pelbagai kemenangan hasil usaha kerasnya, Arshikin kini merancang menjual beberapa karya bidikannya di Balai Seni Negara sebagai koleksi mereka.














