PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong boleh dianggap sudah terkeluar daripada perancangan skuad Piala Thomas apabila masih belum pulih daripada kecederaan lutut kanan yang dialami.
Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei yang mengakui badan induk itu enggan mengambil risiko kerana Tze Yong masih menjalani proses pemulihan.
Sebelum ini, beliau pernah menyuarakan hasrat untuk Tze Yong memperkasakan skuad kebangsaan, namun keadaan semasa pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu tidak mengizinkan dengan tarikh pendaftaran ditutup 10 April depan.
“Saya tidak fikir Tze Yong akan disenaraikan kerana dia masih belum pulih daripada kecederaan dialami. Kenneth Jonassen (Pengarah Kejurulatihan Perseorangan) akan berikan butiran mengenai perkara ini,” katanya.
Sebelum ini, Tze Yong terpaksa berehat panjang dan tidak beraksi dalam kejohanan kompetitif selama 10 bulan selepas mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada Malaysia Masters Mei tahun lalu.
Pemain berusia 26 tahun itu kemudiannya menjalani pembedahan di Hospital Aspetar, Doha sebulan kemudian dan dia kembali ke gelanggang Januari lalu meskipun masih belum menjalani latihan penuh.
Sementara itu, Chong Wei turut menjelaskan, Malaysia berkemungkinan besar akan menyenaraikan empat pemain perseorangan serta enam pemain beregu bagi menggalas misi menamatkan kemarau Piala Thomas selama 34 tahun.
Setakat ini, BAM sudah pun memanggil dua pemain perseorangan profesional, iaitu pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Lee Zii Jia serta Aidil Sholeh Ali Sadikin dengan dua lagi slot bakal menjadi milik Leong Jun Hao dan Justin Hoh.














