SEREMBAN – Malaysia akan menghantar nota diplomatik kepada Filipina dalam masa terdekat bagi menolak sebarang tuntutan terhadap Sabah.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Sabah telah lama menjadi sebahagian daripada Malaysia dan tiada asas untuk mana-mana pihak membuat tuntutan ke atas negeri itu.
“Ini bukan perkara baharu kerana kita telah melakukannya berpuluh kali sebelum ini. Pada saya, ini hanyalah satu lagi cubaan untuk mengalih perhatian daripada masalah dalaman mereka. Sesetengah ahli politik akan membuat tuntutan sedemikian untuk mendapatkan sokongan rakyat mereka,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di Kampung Tanjong Rantau, di sini, hari ini.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Senator Filipina Robin Padilla yang menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr menghidupkan semula tuntutan Filipina ke atas Sabah susulan krisis petroleum dan kenaikan harga akibat konflik di Timur Tengah.
Menurut Mohamad, rakyat Sabah telah memilih menyertai Malaysia melalui Suruhanjaya Cobbold, diikuti Perjanjian Malaysia 1963, serta diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – KOSMO! ONLINE














