PHNOM PENH – Pihak berkuasa menggantung sementara saman trafik ketika Kemboja bergelut dengan kenaikan harga petrol dan diesel akibat penutupan Selat Hormuz oleh Iran, lapor portal berita VNExpress.
“Langkah ini bertujuan untuk tidak memberi lebih tekanan kepada pemandu yang berdepan kenaikan harga bahan api,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Touch Sokhak kelmarin.
Sejak perang Amerika Syarikat (AS)-Israel menentang Iran bermula 28 Februari lalu, harga diesel di Kemboja melonjak 84 peratus, manakala petrol melambung 41.5 peratus.
Gas petroleum cecair (LPG) pula mengalami peningkatan 60 peratus, demikian menurut Kementerian Perdagangan.
“Konflik Asia Barat memaksa hampir 2,000 daripada 6,300 stesen minyak di Kemboja ditutup sementara pada pertengahan bulan ini akibat kehabisan bekalan,” tambah kementerian samai.
Selat Hormuz merupakan laluan utama mengendalikan 20 peratus bekalan minyak dunia dan gas asli cecair.
Perang tersebut menyebabkan penghantaran melalui Selat Hormuz hampir terhenti sepenuhnya, dengan 80 peratus minyak yang melaluinya adalah untuk pasaran Asia, demikian menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).
Pada minggu lalu, Perdana Menteri Hun Manet mengarahkan duti import dan cukai tambahan ke atas petrol dan diesel dihapuskan. Kerajaan turut memansuhkan cukai eksais khas ke atas diesel dan mengekalkan subsidi bahan api sebanyak AS$0.65 (RM2.55 sen) seliter berkuat kuasa 20 Mac lalu. – AGENSI














