KUALA TERENGGANU – Tarikh yang sepatutnya menjadi detik bahagia buat Mohamad Shahrin Mohd, 33, bertukar tragedi apabila dia maut dalam kemalangan kira-kira lapan jam sebelum melangsungkan pertunangan hari ini.
Bakal tunang mangsa, Ain Sofea Aminu Nansar, 25, berkata, Mohamad Shahrin yang juga seorang nelayan sempat menyerahkan persalinan pertunangan kepadanya pada malam tadi.
“Persalinan itu sepatutnya saya pakai pada majlis pertunangan yang dijadual berlangsung di rumah saya di Manir di sini pada pukul 3 petang tadi.
“Luluh hati saya apabila dimaklumkan bakal tunang (Mohamad Shahrin) maut dalam kemalangan berhampiran rumahnya di Kampung Duyong Kecil di sini pada pukul 7.30 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Ain Sofea Aminu berkata, pemergian bakal tunangnya amat mengejutkan malah Mohamad Shahrin tidak menunjukkan sebarang perubahan sewaktu pertemuan terakhir mereka malam tadi.
Jenazah Mohamad Shahrin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cengal, Pulau Duyong, di sini pada pukul 5 petang tadi.
Terdahulu Mohamad Shahrin yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut setelah motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh penghadang jalan di Jalan Kampung Duyong di sini. – KOSMO! ONLINE














