AUSTIN – Juara dunia MotoGP, Marc Marquez tampil mempertahankan proses homologasi litar oleh Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) susulan pelbagai isu yang timbul pada Grand Prix (GP) Brazil baru-baru ini.
Perlumbaan yang menandakan kepulangan MotoGP ke Brazil selepas 22 tahun itu dicemari beberapa masalah litar di Goiania, termasuk kejadian lubang mendap di laluan utama serta permukaan asfalt yang pecah di selekoh 11 dan 12.
Situasi itu memaksa penganjur memendekkan perlumbaan daripada 31 kepada 23 pusingan atas faktor keselamatan, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai ketelitian proses kelulusan litar oleh badan induk itu.
Bagaimanapun, Marquez menegaskan semua pihak perlu melihat situasi tersebut secara terbuka, terutama apabila melibatkan litar baharu yang disiapkan dalam tempoh singkat.
“Kita perlu berfikiran terbuka. Bila kita tiba di litar baharu, lebih-lebih lagi yang dibina dalam masa yang singkat, perkara seperti ini boleh berlaku,” katanya.
Menurutnya, situasi sama pernah berlaku sebelum ini dan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan usaha pihak penganjur memastikan perlumbaan berjalan lancar.
Dalam masa sama, pelumba Ducati itu mengakui dia kini sedang berusaha mencari konsistensi bersama jentera GP26 selepas permulaan musim yang tidak menentu.
“Saya sedang mencari ‘feeling’ untuk lebih konsisten dari segi catatan masa pusingan. Itu kuncinya,” ujar Marquez.
Tambahnya, meskipun memiliki kelajuan yang kompetitif, cabaran sebenar adalah untuk mengekalkan prestasi tersebut sepanjang perlumbaan. – AGENSI














