PRESTASI skuad Vietnam menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Harimau Malaya semakin memuncak selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh pada perlawanan pemanas badan di Stadium Hang Day kelmarin.
Keputusan itu menyaksikan pengendali Vietnam, Kim Sang-sik semakin hampir menyamai pencapaian jurulatih legenda negara berkenaan, Park Hang-seo selepas merekodkan 16 perlawanan tanpa sebarang kekalahan.
Sang-sik hanya ketinggalan dua perlawanan di belakang Hang-seo yang pernah melakar pencapaian 18 aksi tanpa kalah di pentas antarabangsa.
Meskipun atas padang skuad Naga Emas tewas kepada Malaysia 0-4 pada aksi kelayakan Kumpulan F tahun lalu, keputusan itu tidak diiktiraf selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menghadiahkan kemenangan 3-0 ke atas Vietnam keranaHarimau Malaya menurunkan pemain tidak layak.
Mengulas mengenai perlawanan, Sang-sik mengakui sangat teruja melihat prestasi pemain yang berada pada tahap terbaik terutama aksi debut tonggak naturalisasi dari Brazil, Hendrio Araujo atau kini dikenali sebagai Do Hoang Hen.
“Hoang Hen telah memberikan aksi yang cukup profesional walaupun di atas padang saya ada mengarahkannya untuk menukar posisi.
“Dia adalah pemain yang serba boleh dan saya percaya perlawanan menentang Malaysia nanti, dia akan bertambah menyerlah apabila diberikan posisi lebih sesuai,” kata pengendali dari Korea Selatan itu.
Vietnam ketika ini masih kebal apabila tidak tewas kepada Malaysia dalam sebarang perlawanan rasmi dengan kali terakhir Harimau menang ke atas Vietnam ialah pada separuh akhir Piala AFF 2014, dengan kemenangan 4-2 di Stadium My Dinh.














