SUNGAI PETANI – Jenazah pasangan suami isteri yang dibunuh kejam di rumah mereka di Kampung Belau, Merbok, di sini malam semalam masih belum boleh dituntut untuk dikebumikan.
Demikian menurut Anuar Idris, 54, adik ipar kepada mangsa, Zikri Abdul Rahman, 65, mengenai status bedah siasat yang dijalankan ke atas kedua-dua mangsa di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar semalam.
Katanya, jenazah anak saudaranya, Mohd. Shakir Zulkairi, 29, telah selesai dibedah siasat di hospital sama dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Atiq, Merbok selepas solat asar semalam.
“Kami difahamkan oleh pihak polis bahawa bedah siasat telah siap dijalankan ke atas mayat Zikri dan isterinya, Suraya Man, 53, namun perlu menjalani beberapa lagi proses termasuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan pengambilan cap jari sebelum mayat dapat diserahkan kepada keluarga.
“Keluarga kami turut diberi penerangan tentang keperluan proses ini untuk menentukan identiti mereka berikutan keadaan mayat kedua-dua mangsa yang telah reput dan tidak sempurna,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya belum menerima laporan awal bedah siasat kedua-dua mangsa.
“Mayat pasangan suami isteri itu masih di HSB dan belum dapat diserahkan kepada keluarga berikutan proses DNA belum lengkap. Keluarga akan dimaklumkan berkaitan perkembangan hasil bedah siasat serta punca kematian selepas keputusan DNA diperoleh,” katanya.
Menurut Hanyan, sehingga kini pihaknya telah merakam keterangan 11 saksi dalam usaha melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Kosmo! semalam melaporkan tiga beranak ditemukan maut dalam keadaan tragis di rumah mereka di kampung berkenaan. – KOSMO! ONLINE














