PUTRAJAYA – Pengguna di Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter walaupun harga bahan api itu dilaporkan naik ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dianggap munasabah susulan keadaan geografi dan logistik kedua-dua negeri itu.
Pada masa sama, Anwar berkata,ketirisan melibatkan bahan api itu juga perlu sentiasa dikawal dan dikekang.
“Maknanya, bila perbezaan harga ini membengkak, kita harus waspada dan mengambil tindakan pengawalan yang lebih rapi dan penguatkuasaan lebih berkesan,” katanya pada sidang akhbar khas, di sini tadi.
Susulan itu, katanya, kerajaan akan mula menghadkan pengisian untuk bahan api itu seperti kenderaan ringan pengangkutan darat awam, barangan dan persendirian maksimum 50 liter setiap pembelian.
“Kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebih 3 tan, maksimum 100 liter setiap pembelian.
“Untuk kenderaan melebihi 3 tan pula, maksimum 150 liter setiap pembelian. Ini untuk menjamin dan memastikan agar bekalan ada, dapat diagihkan secara adil dan mencukupi kepada semua,” katanya.
Anwar berkata, tanpa penyesuaian ini, kerajaan bimbang ada kecenderungan mengumpul dan menyeludup seperti dikesan sebelum ini. – KOSMO! ONLINE














