KUALA LUMPUR – Taktik licik empat geng curi kenderaan yang aktif di sekitar Wangsa Maju, di sini sejak awal tahun ini berjaya ditumpaskan menerusi Op Lejang Khas 1/26.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Senior Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, operasi dari 1 Januari hingga 20 Mac lalu itu membongkar kegiatan suspek hasil risikan hampir tiga bulan.
Menurutnya, empat kumpulan terbabit dikenali sebagai Kumpulan Prakash, Kumpulan Ican, Kumpulan Kobis dan Kumpulan Botak Kuang.
“Siasatan mendapati suspek menggunakan taktik mengepak hendal motosikal bagi memudahkan kenderaan dicuri sebelum dijual atau dileraikan untuk alat ganti.
“Seramai 21 individu terdiri daripada 20 lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 33 hingga 50 tahun telah ditahan dan direman antara satu hingga empat hari,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, kumpulan terbabit menyasarkan motosikal yang diparkir di kawasan ‘hotspot’ seperti perumahan projek perumahan rakyat serta pusat perniagaan di Setapak dan Wangsa Maju.
“Kebanyakan kes berpunca daripada kecuaian pemilik yang meninggalkan kunci atau meletakkan kenderaan di lokasi sunyi tanpa ciri keselamatan tambahan,” ujarnya.
Tambahnya, kenderaan curi itu akan dijual semula, dileraikan atau dipasarkan melalui platform dalam talian seperti Facebook, selain menggunakan nombor pendaftaran palsu sebelum dibawa ke daerah lain termasuk Gombak dan luar Lembah Klang.
“Daripada 24 kenderaan dirampas, lima telah dipulangkan kepada pemilik, manakala selebihnya diserahkan kepada beberapa IPD lain untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sepanjang operasi, polis turut memeriksa 4,109 individu, 3,157 kenderaan dan 10 premis bengkel bagi mengesan aktiviti berkaitan.
Menurutnya, lima individu telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 379A, Seksyen 379 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
“Polis akan terus mempergiat operasi bagi membanteras jenayah curi kenderaan dan memberi amaran tegas kepada pihak terlibat agar menghentikan kegiatan ini,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE














