KOTA BHARU – Dua individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran sebuah premis menjual bunga api dan mercun di Batu 3, Wakaf Che Yeh di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, pemilik premis itu yang merupakan seorang wanita berusia 44 tahun dan penjaga kedai tersebut diberkas kira-kira pukul 8.30 malam.
Menurutnya, hasil semakan mendapati, wanita itu mempunyai permit dan lesen untuk menjalankan perniagaan bunga api dan mercun.
“Wanita itu juga merupakan pemilik kedai makan dan menjalankan perniagaan menjual bunga api di alamat sama dengan premis tersebut.
“Pihak forensik bomba mengenal pasti kebakaran tersebut berpunca daripada litar pintas pada sambungan wayar elektrik dari kedai makan ke lampu warna-warni di gerai bunga api dan mercun,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mohd. Azmir memberitahu, sehubungan itu, pemilik dan penjaga premis tersebut ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan.
Kosmo! Online semalam melaporkan, tindakan seorang pekerja kedai makan yang menguji dengan membakar bunga api sebelum membelinya membawa padah apabila gerai yang menjual barangan tersebut di Batu 3, Wakaf Che Yeh di sini terbakar.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.16 pagi itu menyebabkan sebuah gerai menjual makanan terbakar.
Seorang saksi yang enggan dikenali mendakwa, kejadian berpunca daripada kecuaian seorang pekerja kedai makan yang bertindak menguji bunga api atau mercun di gerai tersebut menyebabkan ia terbakar sebelum merebak ke sebuah premis bersebelahan. – KOSMO! ONLINE














