fbpx
ABDUL AZHAR berdiri di dasar Empangan Timah Tasoh yang berkedalaman 3.7 meter jika dipenuhi air tetapi kini ditumbuhi rumput hijau.

Pulau Timbul di Timah Tasoh ‘timbul’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADANG BESAR – Fenomena cuaca panas dan kering di Perlis ketika ini menyebabkan dasar di Empangan Timah Tasoh yang lebih tinggi mula timbul membentuk pulau dengan ditumbuhi rumput hijau sekali gus menjadi tum­puan pelancong.

Timbalan Pengerusi Nelayan Darat kawasan itu, Abdul Azhar Abdul Aziz, 38, berkata, kawasan yang digelar Pulau Timbul itu dipercayai pernah menjadi pe­nempatan penduduk suatu ketika dahulu susulan pembinaan empangan tersebut.

“Kita juga menemui serpihan pinggan mangkuk, bekas makanan dan pelapik tiang di Pulau Timbul. Kawasan ini juga mula menjadi tarikan pelancong sempena musim cuti raya ini.

“Kawasan yang dahulunya ditenggelami air kira-kira 12 kaki (kira-kira 3.7 meter) itu kini mula ditumbuhi anak rumput hijau dan menyajikan pemandangan matahari terbenam yang cukup memukau,” katanya kepada Kos­mo! di sini semalam.

PULAU Timbul yang sepatutnya tenggelam mula kelihatan akibat penyusutan paras air berikutan cuaca panas.

Ujarnya, fenomena itu berlaku setahun sekali dan keadaan sama dijangka berulang tahun ini.

Keadaan kemarau teruk pada 2019 pernah menyebabkan sebahagian besar kawasan tersebut timbul sehingga tidak boleh dimasuki bot.

Jelasnya, cuaca panas terik menyebabkan paras air empa­ngan itu mula menyusut kira-kira 60 meter dari kawasan gigi air sejak awal Januari lalu dan turut memberi kesan kepada hasil tangkapan nelayan darat yang merosot sehingga 50 peratus.

“Keadaan ini disebabkan kawasan penangkapan semakin mengecil akibat penyusutan paras air empangan sekali gus menyebabkan ikan-ikan mencari kawasan lain yang lebih selamat untuk berlindung.

“Kebanyakan ikan itu berpindah ke kawasan larangan Jabatan Pengairan dan Saliran Perlis yang lebih dalam di mana nelayan tidak dibenarkan memasuki kawasan itu,” ujarnya.

Menurut laman sesawang pemantauan empangan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, paras air kini berada pada tahap waspada dengan bacaan 26.81 meter (m) dan simpanan air sebanyak 39.09 peratus dengan paras kritikal empangan tersebut adalah pada 26 meter.

Kelmarin, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan seluruh Perlis antara 14 kawasan di Semenanjung yang berada pada tahap satu (berjaga-jaga). -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN