SEAWAL usia setahun dua bulan, ketika kanak-kanak lain baru belajar mengenal dunia, Aisya Humairah Mohd. Sharizal sudah diuji dengan cabaran yang tidak terjangkau akal.
Disahkan menghidap retinoblastoma pada tahap serius di kedua-dua mata, anak kelahiran Selangor itu kehilangan penglihatan sepenuhnya selepas menjalani pembedahan secara berperingkat.
Namun di sebalik kegelapan itu, gadis berusia 16 tahun ini bangkit membuktikan bahawa keterbatasan fizikal tidak pernah menghalang langkahnya untuk terus mencipta kejayaan.
Hari ini, Aisya Humairah menyerlah sebagai remaja serba boleh dengan pencapaian yang menakjubkan dalam pelbagai bidang, merangkumi sukan catur, renang, tilawah al-Quran, penglibatan aktif dalam pengakap serta kejayaan akademik dan inovasi.
Anak kedua daripada empat beradik ini bukan sahaja berjaya di peringkat kebangsaan, malah menyerlah di pentas antarabangsa.
Menurut Aisya Humairah, dugaan yang dihadapinya sejak kecil membentuk dirinya menjadi seorang yang lebih kuat dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian.
“Saya dilahirkan sebagai bayi normal pada 17 Disember 2010 tetapi disahkan menghidap kanser mata ketika berusia setahun dua bulan.
“Saya terpaksa menjalani rawatan kimoterapi bagi mengelak tumor merebak ke otak.
“Mata saya terpaksa dibuang secara berperingkat ketika berusia tiga hingga lima tahun.
“Oleh kerana saya mula sakit pada usia sangat muda, saya tak ingat pengalaman melihat kecuali bayangan putih-putih sahaja kerana kanser dah halang pandangan mata saya,” katanya kepada K-Remaja.

Mengulas tentang kejayaannya dalam bidang agama, Aisya Humairah mula mengenal al-Quran seawal usia lima tahun.
Dia belajar huruf melalui buku Iqra braille sebelum mengaji secara berperingkat menggunakan al-Quran braille yang dibeli ibunya secara second hand.
Dengan bimbingan guru dan latihan berterusan, Aisya Humairah bukan sahaja menguasai hafazan, malah berjaya dalam pertandingan tilawah.
Antara pencapaian cemerlangnya termasuk menjuarai Johan Qari kategori masalah penglihatan peringkat kebangsaan anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 2023, tempat kedua Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat
Kebangsaan kategori masalah penglihatan sekolah-sekolah anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia pada 2021 dan 2022, serta meraih tempat keempat tilawah peringkat kebangsaan anjuran Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) 2023.
Dia juga menonjol dalam pertandingan tazkirah apabila menjadi naib johan di peringkat sekolah berasrama penuh Wilayah Persekutuan dan menempatkan diri di tempat keempat peringkat kebangsaan anjuran Pertis pada 2024.
Selain itu, Aisya Humairah pernah menjadi peserta termuda iaitu 10 tahun ketika menyertai Pertandingan Tilawah al-Quran Pertis pada 2020.
“Saya mula belajar al-Quran sejak umur lima tahun menggunakan braille. Pada awalnya saya dibimbing oleh seorang ustaz orang kurang upaya (OKU) penglihatan, dan selepas mahir, saya belajar dengan guru biasa.
“Perjalanan saya dalam tilawah dan hafazan sebenarnya bermula dengan hafazan, tetapi atas cadangan ibu, saya beralih ke tilawah kerana persaingan hafazan terlalu tinggi dan tilawah lebih sesuai dengan potensi saya.
“Alhamdulillah, selepas mencuba, saya berjaya menjuarai beberapa pertandingan termasuk di peringkat sekolah dan pertandingan di USIM,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak yang merupakan anak kepada jurutera (bapa) dan bekas jurutera (ibu).

Dalam bidang sukan pula, Aisya Humairah menonjol sejak mula menceburi renang pada usia 11 tahun walaupun pada awalnya dia takut dengan air.
Dengan latihan intensif yang disesuaikan bersama jurulatih, dia berkembang menjadi perenang berprestasi tinggi.
Dia berjaya meraih empat pingat emas Sirkit Para Renang Kebangsaan pada 2021 dan 2022 serta tujuh pingat emas pada 2025 selain sebagai atlet harapan Wangsa Maju pada 2023.
Pencapaian antarabangsa turut menyinar apabila dia meraih empat pingat emas dalam 1st Confederation Mondiale des Activites Subaquatiques (CMAS) Freediving and Finswimming PARA Sport World Championship di Itali pada 2023, selain menamatkan pertandingan renang laut terbuka di Pulau Perhentian pada 2025 di tempat keenam kategori terbuka termasuk peserta normal.

Dalam sukan catur, penyertaan saat akhir Aisya Humairah bagi Para Sukan Malaysia (Sukma) 2024 mewakili Negeri Sembilan membuahkan hasil apabila dia meraih tiga pingat perak.
“Saya mula mengenali catur ketika menghadiri Hari Sukan Negara dan diajar cara bermain catur untuk orang kurang upaya penglihatan.
“Bakat saya kemudian dikesan oleh jurulatih Negeri Sembilan yang menjemput saya bertanding mewakili negeri pada Para Sukma 2024 di Sarawak.
“Selepas tiga bulan latihan intensif, saya berjaya meraih pingat perak. Sejak itu, tumpuan saya juga diberi kepada sukan catur dan saya kini berusaha menyasar pingat emas pada Para Sukma Selangor 2026 pada Ogos nanti,” katanya.
Dalam ruang kokurikulum pula, penglibatan Aisya Humairah dalam pengakap turut menunjukkan disiplin dan keberanian.
Dia mula menyertai pengakap pada usia sembilan tahun dan mencapai Rambu Biru pada 2022 sebelum menjejak ke sekolah menengah dan mencapai Rambu Hijau pada 2025. Kejayaannya diiktiraf apabila menerima anugerah Pengakap Pendidikan Khas Terbaik Negeri Selangor pada 2022.
Selain itu, dia mewakili kontijen Malaysia ke World Muslim Scout Jamboree di Indonesia pada 2025 dan ke Scout Agonoree di Jepun pada 2024.
Dalam bidang akademik dan inovasi pula, Aisya Humairah telah diiktiraf sebagai Tokoh Nilam Pendidikan Khas kategori masalah penglihatan peringkat kebangsaan pada 2025 setelah berjaya membaca lebih 500 buah buku dalam tempoh setahun.
Minatnya terhadap ilmu mendorongnya menulis dan menerbit sendiri buku bersama ibunya bertajuk Cahaya dari Syurga pada tahun lalu.
Pada tahun sama, dia menjadi finalis Pertandingan Innovathon Musim ke-3 anjuran Astro, memenangi pingat emas Anugerah Inovasi Universiti Putra Malaysia (UPM) dan meraih tempat kedua pertandingan deklamasi sajak OKU anjuran Perpustakaan Negara.
Kini, Aisya Humairah bercita-cita menjadi seorang guru dan menyasarkan pengajian di Institut Pendidikan Guru.
“Kini, setelah memasuki Tingkatan 4, saya memilih aliran yang melibatkan Tasawur Islam, Sastera dan Bahasa Arab.
“Saya bercita-cita untuk jadi seorang guru pada satu hari nanti. Oleh itu, saya mahu beri lebih fokus yang kepada bidang akademik untuk mencapai cita-cita itu,” katanya.
















