KOTA TINGGI – Kebakaran hutan belukar seluas 150 hektar Highway Bypass Punggai menghala ke Sebana Cove di sini dilaporkan semakin marak sejak Sabtu lalu.
Kejadian yang bermula pada pukul 5.15 petang, Sabtu lalu kini memasuki hari keempat dengan operasi pemadaman masih giat dijalankan oleh pihak bomba dan agensi berkaitan.
Komander Operasi, PBK I Alvinni Jackson berkata, setakat ini seluas 63 hektar atau 42 peratus daripada keseluruhan kawasan dipadamkan.
“Keadaan cuaca panas dan kering serta tiupan angin kuat menyebabkan api terus merebak. Api masih aktif membakar pokok serta belukar kering dan menghasilkan asap tebal sehingga menjejaskan jarak penglihatan di laluan utama.
“Pihak Balai Polis Bayu Damai terpaksa menutup laluan bagi menyekat kenderaan melalui jalan tersebut, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pihak bomba menggunakan kaedah ‘direct attack’ dan pam air berkuasa tinggi, manakala sumber air pula diperoleh daripada takungan berhampiran bagi memastikan operasi pemadaman dapat diteruskan tanpa gangguan. – KOSMO! ONLINE














