PETALING JAYA – Trend bergambar di studio pada musim perayaan membawa durian runtuh buat jurugambar berikutan permintaan yang semakin tinggi saban tahun.
Dengan menggunakan sebuah bilik kecil, pelbagai tema seperti rumah kampung tradisional, moden dan mewah serta minimalis dengan dekorasi indah direalisasikan tanpa perlu pelanggan berhabis wang membeli barangan untuk menghias kediaman masing-masing.
Selain dekorasi, bergambar di studio menjelang Syawal juga menjadi pilihan kerana menjimatkan masa menyebabkan ada jurugambar yang mampu meraih pendapatan hampir ratusan ribu ringgit pada musim perayaan besar.
Seorang pengusaha studio raya, Ahmad Amirul Hayat, 33, dari Shah Alam mendedahkan tempahan diterima pada tahun ini amat menggalakkan, malah hampir penuh setiap hari, terutama pada hujung minggu dan minggu terakhir Ramadan.
Dia yang berpengalaman selama 10 tahun dalam bidang fotografi dan menonjolkan studio tema klasik menerima lebih 700 tempahan setakat ini sejak tempahan dibuka kepada orang ramai sebelum Ramadan lalu.
“Jumlah pelanggan memang makin meningkat sejak saya membuka studio ini kira-kira empat tahun lalu. Ibarat macam satu keperluan setiap kali raya (bergambar di studio).
“Jika dahulu, khidmat jurugambar profesional diperlukan dalam setiap majlis perkahwinan, namun sekarang setiap kali raya pula seperti sudah jadi trend,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Dia yang mesra dipanggil Hayat Bun berkata, walaupun Aidilfitri sudah berlalu, namun dia masih menerima tempahan pelanggannya dan persaingan juga dilihat agak sengit tahun ini.
Katanya, kelainan dekorasi di premisnya yang menerapkan elemen kediaman klasik mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan bukan sahaja di sekitar Shah Alam, malah daerah-daerah lain di Selangor juga.
“Saya memperkenalkan konsep itu sejak dua tahun lalu. Ramai pelanggan datang ke sini kerana mereka mahukan suasana seperti berada di kampung.
“Cuma tahun ini terdapat kelainan apabila pelanggan memilih untuk merakam gambar sebelum puasa. Setiap hari pasti ada pelanggan, lebih-lebih lagi pada hujung minggu studio ini tidak pernah sunyi bermula dari pukul 8 pagi sampai 12 tengah malam.
“Setakat ini tempahan yang saya terima sampai pertengahan bulan Syawal,” katanya.
Sementara itu, seorang pengusaha studio raya, Noor Afiq Piko Noor Adzli, 29, dari Sungai Buloh berkata, dia terjebak dalam penggambaran studio raya sejak tiga tahun lalu dan permintaan terutama ketika Aidilfitri makin memberangsangkan.
Dengan tawaran harga serendah RM100, Noor Afiq berkata, dia berjaya meraih kira-kira RM40,000 tahun lalu dengan tempahan penuh menjelang Syawal sehingga menyebabkan waktu operasi terpaksa dilanjutkan hingga pukul 3 pagi.
Menurut jurugambar perkahwinan yang berpengalaman selama 12 tahun itu, tahun ini tempahan diterima sehingga raya kesembilan sebelum studionya ditutup untuk tempahan majlis lain.
“Tahun ini saya menjangkakan pendapatan boleh melonjak sampai RM70,000. Setakat ini lebih 260 keluarga merakam gambar di studio saya.
“Saya akui permintaan bergambar di studio memang banyak sampai tidak menang tangan tetapi saingan pun tinggi juga.
“Terdapat empat tema yang saya ketengahkan iaitu klasik, moden, minimalis dan modern garden. Tema klasik paling banyak dapat permintaan,” ujarnya.
Afiq Piko berkata, perniagaan studio raya sememangnya menguntungkan berbanding tempahan majlis perkahwinan kerana pendapatan tersebut dijana hampir setiap hari.
Seorang lagi pemilik studio di Kepong, Muhamad Syaqirin Samsuar, 29, berkata, tempahan yang diterima setakat ini sudah cukup untuk menampung modal RM20,000 yang dilaburkan bagi mengusahakan studio berkenaan.
Lelaki itu mula menerima tempahan seawal Disember selepas mengiklankan perkhidmatannya di media sosial.
“Setiap hari mesti ada pelanggan, dari pagi sampai ke malam. Setakat ini lebih 50 keluarga datang ke studio saya untuk merakam gambar kenangan sempena perayaan Aidilfitri. Kebanyakan mereka bukan dari Kepong. Ada yang sanggup datang dari Putrajaya dan Setia Alam, Shah Alam.
“Walaupun penat berbanding perkhidmatan jurugambar semasa majlis perkahwinan, tapi hasilnya lumayan. Hari-hari duit masuk. Setakat ini saya membuka tempahan sampai raya kelima,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














