fbpx
Kebakaran tiga buah rumah di Lorong Rela, Bunut Payong dekat Kota Bharu hari ini. FOTO IHSAN BOMBA

Api kebakaran merebak ketika jiran keluar tunai solat sunat Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang suri rumah sempat menyelamatkan dua anak termasuk seorang daripadanya merupakan orang kurang upaya (OKU) selepas rumah mereka terbakar akibat api yang merebak dari rumah jiran di Lorong Rela, Bunut Payong di sini hari ini.

Kejadian disedari Rozmawani Abdullah, 42, kira-kira pukul 8.20 pagi selepas melihat asap tebal di ruang dapur rumahnya sebelum terus bergegas mendukung anak OKU, Muhammad Ammar Darwisy Mohd. Fazli, 11, dan Afiyah Hanan, 8.

Rozmawani berkata, melihat keadaan itu, dia cuba memanggil anak jirannya untuk memaklumkan bahawa terdapat api kebakaran yang berpunca dari rumah mereka.
“Bagaimanapun, semua penghuni rumah jiran tiada kerana mereka keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri.

“Api yang marak menyebabkan saya tidak sempat menyelamatkan semua dokumen penting kerana terlalu panik. Ketika itu, saya hanya memikirkan keselamatan anak OKU agar dia tidak terperangkap di dalam kebakaran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Anggota bomba memadam kebakaran tiga buah rumah di Lorong Rela, Bunut Payong dekat Kota Bharu hari ini. FOTO IHSAN BOMBA

Rosmawani memberitahu, dia sepatutnya pulang beraya di rumah ibunya di Kampung Tiong di sini petang ini dan dalam keadaan kelam kabut, dia sempat menyelamatkan beg pakaian raya yang diletakkan di ruang tamu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim, Fakaruddin Berahim berkata, pasukannya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira 8.27 pagi.

Menurutnya, seramai 22 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran melibatkan tiga buah rumah teres dua tingkat.

“Dua daripada rumah berkenaan musnah 100 peratus manakala sebuah lagi terbakar 80 peratus. Kebakaran dapat dikawal kira-kira pukul 9.44 pagi. Punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN