ALOR GAJAH – Seorang lelaki maut, manakala lima ahli keluarganya yang lain cedera selepas Perodua Myvi dinaiki terbabas ketika cuba mengelak anjing di Jalan Garing, Machap Baru, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu, kenderaa dinaiki mangsa telah terbabas ke bahu kiri jalan sebelum terperosok di dalam parit.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dipercayai cuba mengelak beberapa ekor anjing yang melintas.
Katanya, ketika kejadian, mangsa yang terdiri daripada lima warga Indonesia dan seorang kanak-kanak tempatan dalam perjalanan dari Bukit Beruang menuju ke Tebong.
“Akibat kemalangan itu, seorang penumpang lelaki berusia 43 tahun mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah.
“Sorang pemandu berusia 39 tahun cedera di bahagian dada dan kaki, manakala seorang wanita berumur 40 tahun mengalami kecederaan pada tangan kanan dan kaki kiri,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, seorang kanak-kanak lelaki tempatan berusia empat tahun pula hanya mengalami kecederaan ringan, sementara dua lagi penumpang masing-masing berumur 28 dan 52 tahun turut cedera pada bahagian muka, rusuk serta badan.
“Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama bagi proses bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














