fbpx
Keluarga besar Allahyarham Embong Jusoh dan Seah Othman berpakaian sedondon warna ‘peach’ pada 1 Syawal 2023.

Empat generasi sedondon raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Sejak 16 tahun lalu, keluarga besar Allahyarham Embong Jusoh dan Seah Othman daripada empat generasi di Kampung Gong Datuk di sini, tidak pernah ketinggalan untuk me­ngenakan pakaian sedondon pada setiap 1 Sya­wal.

Lebih 100 ahli keluarga hingga ke peringkat cicit akan berkumpul beramai-ramai pada pagi raya untuk bersalaman, bermaafan serta mengabadikan kenangan bersama keluarga besar demi meng­e­ratkan silaturahim.

Pada tahun ini, mereka tidak sabar untuk meneruskan tradisi berpakaian sedondon itu dengan tema ‘light pink’ atau merah jambu cerah pada pagi raya.

Seorang ahli keluarga itu, Adi Hafiza Ariffin, 40, berkata, tradisi berpakaian raya sedondon sama warna telah dirintis mulai tahun 2010.

“Asalnya rata-rata keluarga kecil iaitu anak-anak arwah datuk dan nenek kami gemar memakai baju raya sedondon sejak sambutan Aidilfitri tahun 1990-an.

“Ia mencetuskan idea untuk memperluaskan konsep itu kepada semua ahli keluarga besar kami bermula tahun 2010 agar sambutan raya menjadi lebih meriah,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Gong Datuk di sini.

Gambar kenangan keluarga besar Allahyarham Embong Jusoh dan Seah Othman daripada empat generasi berpakaian sedondon warna coklat gelap pada Aidilfitri tahun lalu.

Adi Hafiza berkata, berpakaian sedondon itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan menjadi alasan terkuat untuk terus berkumpul pada setiap pagi 1 Syawal biarpun generasi awal sudah tiada.

Menurutnya, warna merah jambu cerah telah ditetapkan sebagai tema pakaian raya keluarga Allahyarham Embong Jusoh dan Seah Othman pada tahun ini.

Katanya, antara warna yang pernah dipilih sebagai tema keluarga pada tahun-tahun sebelum ini ialah dark brown (coklat gelap), baby blue (biru muda), peach (jingga jambu) dan warna emas.

“Tiada bantahan atau rasa malu, malah kami begitu teruja memakai pakaian dengan warna sama pada pagi raya tanpa me­ngira usia serta jantina,” katanya.

Adi Hafiza mengakui pada mulanya, cadangan di luar kotak tersebut sukar dipersetujui sebulat suara ahli keluarga sewaktu tahun-tahun awal pelaksanaanya.

Katanya, kata sepakat akhir­nya diambil dengan pemilihan warna dan tema pakaian raya diputus dilakukan secara undian majoriti.

“Biasanya warna dan tema pakaian raya untuk tahun sete­rusnya akan diputuskan dalam undian sewaktu mereka berkumpul beramai-ramai pada 1 Syawal.

“Ia membolehkan setiap keluarga kecil kami mempunyai masa setahun untuk membuat persediaan menyiapkan baju raya sedondon itu mengikut warna yang dipersetujui,” katanya.

Adi Hafiza berkata, sebahagian ahli keluarganya membeli secara pakaian raya pasang siap, namun kebanyakan membeli kain pasang dalam kuantiti ba­nyak pada harga borong untuk mendapat lebih penjimatan.

Katanya, setiap keluarga juga bebas memilih jenis kain dan rekaan pakaian raya masing-masing, asalkan mengikut warna ditetapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN