KANGAR – Umat Islam di negeri ini digalakkan menunaikan solat sunat Aidilfitri di tanah lapang atau musolla yang diselaraskan bermula pukul 7.45 pagi hingga 8.15 pagi bergantung kepada keputusan jawatankuasa kariah masing-masing.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap jawatankuasa kariah hendaklah memastikan hebahan berkaitan waktu solat yang dipilih dilaksanakan sebaiknya bagi penyelarasan kepada ahli kariah.
“Pemilihan tanah lapang adalah tertakluk kepada ketetapan oleh jawatankuasa kariah masjid masing-masing di seluruh negeri Perlis. Pelaksanaan ini selaras dengan sunnah baginda Rasulullah SAW,” titah Tuanku Syed Faizuddin berhubung tatacara pelaksanaan solat Aidilfitri 1447H/2026M.
Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, pihak jawatankuasa kariah bagaimanapun boleh mempertimbangkan penggunaan ruang di dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang dan bilangan jemaah yang hadir.
“Bagi pelaksanaan solat Aidilfitri selain musolla yang ditentukan oleh pihak jawatankuasa kariah seperti surau rasmi di Perlis, pelaksanaannya hendaklah dirujuk kepada jawatankuasa kariah masjid dan mendapat persetujuan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
“Dalam keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, solat Aidilfitri akan dilaksanakan di ruang dalam masjid kariah masing-masing pada pukul 8.15 pagi. Hebahan berkaitan perubahan lokasi dari musolla ke ruang dalam masjid perlu dimaklumkan oleh jawatankuasa kariah masjid pada pukul 7.45 pagi,” titah Raja Muda Perlis.
Titah baginda, bagi pelaksanaan solat Aidilfitri di Kariah Kota Raja Arau, solat akan dilaksanakan di Dataran Istiadat Istana Arau pada pukul 8 pagi.
“Sekiranya keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, solat Aidilfitri akan didirikan di ruang solat Masjid Negeri Arau,” titah baginda.
Baginda bertitah, pengurusan masjid hendaklah melaksanakan tatacara berkaitan pelaksanaan solat Aidilfitri seperti lafaz takbir hari raya, kaifiyat solat, khutbah hari raya dan sebagainya dengan merujuk kepada panduan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.
“Dinasihatkan agar para jemaah membawa sejadah masing-masing dan mengambil wuduk dari rumah, di samping turut menjaga kesihatan dengan memakai pelitup muka bagi yang mempunyai keuzuran kesihatan,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan harapan agar segala ketetapan yang telah digariskan itu sentiasa dijunjung tinggi serta dipatuhi dengan penuh iltizam oleh seluruh rakyat.
“Syawal yang bakal menjelma seharusnya dijadikan medan untuk kita kembali bermuhasabah diri, membasahi lidah dengan istighfar serta mengagungkan kebesaran Ilahi melalui takbir, tahmid dan tahlil.
“Biarlah ia menjadi neraca kesyukuran yang tulus atas limpah rahmat Allah Azza Wajalla yang melimpah-ruah ke atas kita semua,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE














