ALOR SETAR – Seorang bekas pemain sepak takraw negara maut selepas motosikal yang dia tunggang melanggar belakang sebuah pikap yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 40.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.13 malam itu, mangsa, Mohd. Taufik M. Saad, 41, yang mengalami kecederaan parah pada kaki kiri meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mohd. Taufik yang pernah beraksi untuk skuad negara pada Sukan SEA Laos pada 2009 bekerja sebagai Pembantu Khidmat Awam di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) di Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Sementara itu, pemandu pikap jenis Nissan Frontier yang merupakan pelajar lelaki sebuah kolej kemahiran berusia 20 tahun dilaporkan mengalami kecederaan patah tangan kiri.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda ADV 160 dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jitra, dekat sini selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama majikan di sebuah resort di Bertam, Pulau Pinang.
Katanya, pemandu pikap tersebut pula dalam perjalanan ke Tunjang, Jitra untuk menghantar tangki air sebelum berhenti di lorong kecemasan selama kira-kira dua hingga tiga minit bagi mengetatkan tali yang diikat pada tangki air di bahagian belakang pikap.
“Selepas itu, datang sebuah motosikal yang kemudian melanggar bahagian belakang sebelah kanan pikap dengan impak perlanggaran tersebut menyebabkan penunggang motosikal terbabit melambung serta terjatuh di tengah jalan,” katanya.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














