KUALA LANGAT – Semua pemandu kenderaan perdagangan membawa muatan barangan kawalan perlu mengemukakan dokumen lengkap bagi mengelak dikenakan tindakan.
Ini merangkumi Dokumen seperti Delivery Order (DO), Purchase Order (PO) dan invois untuk pengesanan dan pengesahan rantaian bekalan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd. Hanizam Kechek berkata, masih terdapat pemandu yang gagal mematuhi peraturan tersebut dengan pemantuhan itu penting supaya barangan kawalan dibawa secara sah selain mengelakkan sebarang bentuk ketirisan.
“Bagi barangan keperluan asas, pemandu wajib membawa dokumen seperti DO, PO dan invois untuk membolehkan kita menyemak sumber bekalan serta destinasi penghantaran.
“Kita perlu memastikan setiap bekalan dapat dijejaki supaya tiada penyelewengan yang boleh menjejaskan kepentingan pengguna,” katanya pada sidang akhbar di lokasi Ops Pantau di Jalan Klang-Banting di sini, malam tadi.
Dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, sebanyak 55 kenderaan perdagangan termasuk lori telah diperiksa.
Tegasnya, kegagalan mengemukakan dokumen lengkap bukan sahaja menimbulkan keraguan, malah boleh membawa kepada tindakan susulan termasuk pemeriksaan lanjut ke atas syarikat terlibat. – KOSMO! ONLINE














