fbpx
NOOR Hisam (tiga dari kiri) menyempurnakan Majlis Pelancaran Op Selamat Hari Raya Aidilfitri 26 peringkat Kontinjen Perak di Pusat Transformasi Bandar (RTC) Gopeng hari ini.

Polis Perak terima tujuh laporan penipuan tempahan kuih raya babitkan kerugian hampir RM300,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Polis Perak menerima tujuh laporan berhubung sindiket penipuan membabitkan tempahan kuih raya dan juadah yang mengakibatkan kerugian hampir RM300,000.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, semua kes yang dilaporkan tahun ini dikesan menggunakan modus operandi sama dengan menyasarkan pengusaha katering dan pastri.

Katanya, sindiket berkenaan akan membuat tempahan awal sebelum menghubungi semula mangsa untuk membuat pesanan tambahan yang kebiasaannya tidak dihasilkan oleh pengusaha terbabit.

“Apabila mangsa tidak dapat menyediakan pesanan yang diminta, sindiket berkenaan akan mencadangkan pengusaha lain yang kononnya boleh membantu, dengan memberikan nombor telefon untuk dihubungi.

“Jadi, selepas mangsa menghubungi nombor berkenaan, pemilik nombor itu akan berkata boleh membuat tempahan melalui dirinya, tetapi dengan bayaran tertentu.

“Bagaimanapun, selepas pembayaran dibuat, nombor berkenaan tidak dapat dihubungi dan barulah mangsa sedar mereka telah ditipu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Op Selamat Hari Raya Aidilfitri 26 peringkat Kontinjen Perak di Pusat Transformasi Bandar (RTC) Gopeng, di sini hari ini.

Menurut Noor Hisam, modus operandi tersebut sebenarnya telah dikesan sejak tahun lalu dengan 66 kes penipuan direkodkan di negeri ini.

“Dalam kes ini, kedua-dua pihak sebenarnya adalah scammer. Jadi mangsa menanggung dua kerugian iaitu kos menyediakan tempahan makanan dan wang yang dibayar kepada pemilik nombor yang diberikan,” katanya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan pengusaha supaya lebih berhati-hati apabila menerima tempahan, khususnya yang melibatkan jumlah besar.

“Jika melibatkan tempahan bernilai besar, sebaiknya berurusan secara bersemuka dan ambil deposit terlebih dahulu sebelum menyediakan pesanan.

“Sekurang-kurangnya jika ada deposit, kerugian dapat diminimumkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI