KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili Zamri Vinoth memberitahu bahawa, anak guamnya tidak pernah melarikan diri sebaliknya berada di Thailand pada 9 Mac lalu bagi urusan perniagaan.
Muhammad Hariz Md Yusof memaklumkan aktivis berusia 42 tahun itu kemudiannya memasuki tanah air semula pada 12 Mac iaitu selepas empat hari di luar negara.
“Anak guam tidak pernah menerima sebarang notis yang memerlukannya hadir ke balai polis untuk memberi keterangan atau dikehendaki menghadapi pertuduhan sehingga dia dilarang ke luar negara. Ini bukan kali pertama dia ke Thailand sebaliknya kerap keluar masuk sejak sembilan tahun lalu.
“Dia juga terlibat dalam menguruskan pernikahan pasangan yang mahu melangsungkan perkahwinan di luar negara, yang mana ia merupakan kerjasama baik antara Majlis Agama Islam Songkla, Thailand dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis,” katanya.
Tambah peguam itu, perjalanan Zamri ke Thailand juga mengikut saluran yang sah
menggunakan pasport dan pas sempadan.
Justeru beliau berkata, tiada sebarang indikasi menunjukkan anak guam mahu melarikan diri bagi mengelak daripada menghadapi pertuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan dua individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes berkaitan ketenteraman awam dan sensitiviti agama yang dipercayai telah melarikan diri ke Thailand.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dilaporkan berkata, hasil risikan mendapati kedua-dua suspek iaitu Zamri Vinoth dan Tamim Dahri telah meninggalkan negara.
Sejurus selepas itu, Zamri menafikan melarikan diri ke Thailand selepas dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes berkaitan ketenteraman awam dan sensitiviti agama.
Terdahulu Zamri Vinoth atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.
Mengikut pertuduhan, Zamri didakwa telah membuat kenyataan di akaun Facebook miliknya “Zamri Vinoth” yang mana kenyataan itu mungkin menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Zamri mengeluarkan kenyataan itu pukul 12.22 tengahari pada 3 Februari lalu yang kemudian kenyataan tersebut telah dilihat dan didengar oleh seorang lelaki yang berusia 45 tahun di sebuah restoran di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai dua tahun atau denda atu kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














