PETALING JAYA – Seorang pelanggan meluahkan rasa tidak puas hati selepas mendakwa hidangan ‘fish and chips’ yang dibelinya di sebuah restoran di Kota Warisan tidak setimpal dengan harga dibayar.
Menerusi perkongsian @stepforwadtobesuccess di Threads, pelanggan tersebut mempertikaikan saiz hidangan yang terlalu kecil dan sedikit sedangkan harga dicaj adalah RM14.90.
Dalam masa sama, individu berkenaan turut mempersoalkan sama ada pihak berkuasa akan membuat pemeriksaan terhadap perkara tersebut seperti yang sering berlaku dalam isu melibatkan peniaga kecil tempatan.
“Fish and chip di Kota Warisan RM14.90. Tak nak check (siasat) ke? Kalau kedai Melayu karipap punya hal pun laju datang. Ni tolong check (siasat),” luahnya.
Perkongsian tersebut turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-ratanya berkongsi pengalaman hampir sama apabila merasakan saiz hidangan di sesetengah premis makanan tidak sepadan dengan harga dikenakan.
“Gigih susun jarak-jarak nak nampak penuh pinggan. Itu bagi saiz piring pun ada kosong,” kata seorang pengguna.
“Semua usaha dilakukan (peniaga) hanya pada timun,” perli @ronrueni.
“Kids meals (hidangan untuk kanak-kanak) rasanya ini,” komen @Syudt. – KOSMO! ONLINE














