fbpx
Abbe Hae mengagihkan duit raya kepada anak-anak di Chow Kit, Kuala Lumpur malam kelmarin. – IHSAN ABBE HAE

Buang malu, asalkan dapat RM1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Fenomena individu menyamar sebagai asnaf atau gelandangan semata-mata mahu mendapatkan duit raya pada minggu terakhir Ramadan dikesan berlaku pada setiap tahun di sekitar ibu negara terutama kawasan Chow Kit.

Pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan, Mohamad Azhan Mohamed Adnan berkata, kemunculan golongan itu bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan adalah kerana banyak pihak tampil memberikan sumbangan termasuk wang tunai kepada golongan memerlukan di kawasan tersebut.

Katanya, pemeriksaan mendapati golongan itu bukannya hidup susah, tetapi mengambil kesempatan atas kebaikan orang ramai yang mahu bersedekah.

“Ada yang menaiki kenderaan sendiri dan meletakkan kereta mereka jauh dari Chow Kit bagi mengelak tembelang pecah. Ada juga individu yang dijemput ahli keluarga selepas sumbangan selesai diagihkan. Ada dalam kala­ngan mereka yang datang luar dari Kuala Lumpur termasuk dari Shah Alam.

“Apabila ditanya, mereka me­ngaku sudah lama berada di sini (gelandangan), tetapi sebenar­nya mereka mempunyai kediaman sendiri,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Mohamad Azhan atau ­lebih dikenali sebagai Abbe Hae berkata, berdasarkan pemerhatiannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bilangan gelandangan bermusim itu mencecah 100 orang pada satu-satu masa.

“Saya pernah melihat ada kereta yang menjemput mereka. Mereka ini bukan gelandangan sebenar, cuma ambil peluang sebab tahu banyak bantuan diagihkan pada malam-malam terakhir Ramadan,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan pemerhatian pada tahun-tahun sebelumnya, seseorang individu itu berjaya mengumpul hampir RM1,000 sepanjang 10 malam terakhir Ramadan.

“Ramai pengunjung yang lalu menghulurkan wang RM2, RM5, RM10, malah ada yang memberikan wang kertas RM50. Jika dikumpul sepanjang tempoh (10 hari) itu, memang banyak wang yang mereka dapat selain bara­ngan keperluan.

“Cuma tahun ini, saya rasa jumlahnya sedikit berkurangan tidak meriah berbanding tahun lalu. Mungkin dapat RM200 hingga RM300 seorang,” katanya.

Abbe Hae berkata, pihaknya tidak menghalang kehadiran golongan tersebut, sebalik­nya cuba menguruskan agihan bantuan secara lebih tersusun agar golongan yang layak tidak terping­gir.

“Kita mengenali gelandangan sebenar dan individu yang ­datang setahun sekali. Kita tetap akan bantu, cuma kita susun supaya tidak berlaku perebutan dan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN