fbpx
PEKA dengan situasi tiga anak mewarisi masalah ADHD daripada suaminya, Shahida mendapatkan bantuan pakar untuk membantu pembelajaran buah hatinya itu. 

Di mata saya mereka normal, bagus dalam pelajaran – Shahida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ANAK keempat disahkan mempunyai masalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder atau ADHD, usahawan dan penyanyi, Datin Seri Shahida mengakui pada awalnya enggan mempercayai gerak hati selepas melihat beberapa petanda.

Shahida atau nama sebenarnya Nur Shahida Mohd Rashid berkata, hanya selepas setahun Yusoff Al Qardawi, 8, dibawa bertemu pakar untuk didiagnosis apabila turut mengalami kesukaran membaca seperti disleksia.

“Dua lagi anak saya, Qadejah dan Ibraheem sebelum ini juga disahkan disleksia. Mereka belajar di sekolah khas selama enam bulan dan bila makin okey, baru pindah ke sekolah harian.

“Apabila melihat Yusoff, saya dapat rasa dia berbeza sebab sangat aktif dan pada umur satu, dua tahun, setiap hari ada benjol di kepala. Dia juga pernah duduk di atas genting rumah, ketika berusia lima tahun.

“Dia duduk di tempat tinggi itu seorang diri, katanya mahu jadi ‘superhero’. Kolam ikan pun dia terjun sebab tiada rasa takut. Cuma mungkin ketika dulu saya ‘in denial’.

Tahun lalu saya jumpa pakar kanak-kanak dan selepas beberapa ujian, Yusoff disahkan ADHD dan disleksia,” katanya ketika ditemui selepas tayangan perdana filem pendek, Ya Abah Saya Security di GSC, IOI Mall Damansara.

Menurut isteri kepada usahawan Datuk Seri Aliff Syukri itu, Yusoff kini perlu menjalani terapi sebanyak dua kali seminggu sejak awal tahun lalu dan rawatan itu telah menunjukkan perkembangan positif.

“Saya bawa jumpa pakar sebab Yusoff ada isu di sekolah. Anak yang menghidap ADHD ini tidak suka ditekan-tekan dan bila ada yang terlalu ramah, dia pun kurang gemar sampai menolak cara kasar.

“Perkara itu sudah berlaku beberapa kali dan saya memutuskan untuk keluarkan dia dari sekolah lama dan hantar ke sekolah berdekatan rumah. Dia akan balik awal untuk sesi terapi dan nampaknya sekarang kurang lasak,” ujarnya.

Genetik

Kata Shahida, 41, sebelum ini pengetahuannya mengenai ADHD sangat kurang sehinggalah dua anaknya disahkan mempunyai masalah itu membuatkannya bimbang perkembangan mereka.

“Doktor kata, ini berkaitan genetik dan bila saya tanya kepada suami, dia akui boleh membaca hanya selepas berusia 12 tahun. Dia juga mengalami masalah disleksia.

“Jadi bermula dengan Qadejah, saya sudah ada ilmu mengenai ADHD. Kemudian saya harap, janganlah anak yang lain pun ada ADHD. Saya cuba menidakkan tapi akhirnya reda Yusoff turut menurun genetik bapanya yang juga ADHD,” katanya.

“Qadejah dan Ibraheem makin okey selepas ikuti terapi. Macam Yusoff, dia sentiasa aktif dan kita tak boleh leka. Dia juga handal berenang walaupun tak hadiri kelas renang. Apa pun di mata saya mereka normal, cuba pendekatan belajar berbeza,” ujarnya.

Shahida berkata, mungkin dia beruntung kerana mempunyai kelebihan dari segi kewangan untuk menghantar anak-anaknya menjalani terapi, tidak seperti ibu bapa lain yang menghadapi kesukaran dari segi kewangan.

“Saya percaya kalau mereka dihantar ke pusat terapi, mereka akan okey, sama seperti Qadejah yang dulu tidak boleh membaca pada usia tujuh tahun, tapi sekarang ini dia sudah sangat bagus dalam pelajaran,” katanya yang yang mendirikan rumah tangga dengan Aliff pada 2007.

Selama perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan seramai enam cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah dan Luqman Al-Hakim. – HIBGLAM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI