PETALING JAYA – Kenaikan harga tambang bas dan penerbangan setiap kali musim perayaan mendorong perantau di Lembah Klang memilih kaedah perkongsian kenderaan (carpool) untuk pulang ke kampung.
Langkah itu bukan sahaja menjimatkan duit poket sehingga 50 peratus, malah rata-rata mereka seronok kerana dapat menambah kenalan dari negeri sama selain teman untuk berbual sepanjang menempuh kesesakan di lebuh raya.
Seorang akauntan, Nik Muhammad Nazamuddin, 26, berkata, dia memilih kaedah carpool buat kali pertama pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini untuk pulang beraya ke Kota Bharu minggu ini.
“Biasanya kos perjalanan pulang ke Kelantan mencecah RM150 hingga RM200 jika memandu sendiri. Kalau berkongsi kenderaan, boleh jimat hampir 50 peratus kerana kos petrol dan tol dibahagi sama rata,” katanya
Menurut pemuda itu, dia mencari rakan carpool menerusi media sosial seperti Threads dengan perancangan dibuat seminggu lebih awal.
“Sekurang-kurangnya saya mempunyai teman untuk berbual apatah lagi perjalanan ke Pantai Timur terpaksa menempuh kesesakan selama berjam-jam lamanya. Perjalanan pun jadi lebih meriah,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi perantau dikenali sebagai Emi, 40, berkata, tiket bas habis terjual dan tambang kapal terbang yang tinggi memaksanya mencari alternatif lain untuk pulang ke Kelantan sempena Aidilfitri tidak lama lagi.
“Saya memang tidak mempunyai kenderaan sendiri. Jadi kaedah carpool ini merupakan pilihan paling praktikal. Kami akan berkongsi duit petrol dan tol secara sama rata,” katanya.
Menurut Emi, cabaran utama yang dihadapi untuk menyelaraskan masa kerana setiap mereka mempunyai tarikh cuti berbeza, namun masih boleh berbincang dengan baik.
“Saya juga perlu memastikan individu yang menaiki kenderaan pulang ke kampung nanti bukannya scammer. Biasanya saya menyemak profil mereka di media sosial atau mendapatkan nombor telefon untuk urusan selanjutnya,” katanya.
Bagi jurutera perkhidmatan, Muaz Izzuddeen, 30, perkongsian kenderaan untuk pulang ke kampung bukan lagi perkara baharu memandangkan Aidilfitri ini merupakan tahun ketiga dia menggunakan kaedah tersebut untuk pulang beraya ke Alor Setar.
“Dengan dua atau tiga orang penumpang, saya dapat berjimat hampir separuh daripada kos pulang ke kampung kerana kos petrol dan tol dibahagi sama rata,” katanya.
Tambahnya, selain itu, carpool turut membuka ruang untuk mendapatkan kenalan baharu dalam kalangan anak kedah yang merantau di Selangor.















