KUALA LUMPUR – Lebih 10,000 penjaja dan peniaga mikro di ibu negara bakal menikmati pengurangan kadar sewa sehingga 50 peratus bagi tapak penjaja serta premis tertentu milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata inisiatif tersebut dilaksanakan susulan peningkatan tekanan kos sara hidup akibat ketidaktentuan ekonomi global yang memberi kesan kepada kenaikan harga minyak dunia serta kos logistik.
Tambahnya, langkah itu bertujuan membantu mengurangkan kos operasi yang ditanggung penjaja dan peniaga kecil di sekitar Kuala Lumpur.
“Pengurangan kadar sewaan ini dilaksanakan melalui potongan sebanyak 50 peratus secara menyeluruh dengan kadar sewaan minimum ditetapkan pada RM50 sebulan,” ujarnya.
Jelasnya, walaupun potongan 50 peratus diberikan, kadar sewaan akhir yang dikenakan kepada penyewa tidak akan kurang daripada RM50 sebulan.
“Sebagai contoh, sekiranya kadar sewaan asal adalah RM160, selepas potongan 50 peratus kadar baharu menjadi RM80,” katanya.
Bagi kadar sewaan asal RM80 pula, potongan 50 peratus secara matematik menjadikan jumlah RM40, namun kadar yang dikenakan tetap RM50 kerana tertakluk kepada kadar minimum yang ditetapkan.
“Sekiranya kadar sewaan asal adalah RM30, maka kadar tersebut dikekalkan pada kadar sedia ada iaitu RM30,” katanya.
Bagaimanapun, penyewa perlu menjelaskan sebarang tunggakan sedia ada terlebih dahulu sebelum layak menikmati insentif pengurangan kadar sewaan berkenaan.
“Bagi menikmati insentif ini, penyewa unit berkenaan hendaklah terlebih dahulu menjelaskan sebarang tunggakan sedia ada sebelum layak menikmati pengurangan tersebut,” katanya.
Pengurangan kadar sewaan ini akan berkuat kuasa bermula 1 April 2026 hingga 31 Disember 2027 sebagai langkah sementara membantu peniaga kecil menghadapi tekanan kos sara hidup.
Katanya, langkah itu juga menjadikan DBKL antara pihak berkuasa tempatan pertama di negara ini melaksanakan pengurangan kadar sewa secara menyeluruh pada skala besar bagi membantu peniaga kecil dan rakyat di kawasan bandar.- KOSMO! ONLINE














