SHAH ALAM – Tahap pematuhan pemasangan alat penghad kelajuan (SLD) dalam kalangan kenderaan perdagangan di negara ini masih rendah apabila sebanyak 85 peratus pemilik dan pengendali didapati belum memasangnya setakat 12 Mac lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, hanya 15 peratus atau 74,552 kenderaan telah membuat pemakluman pemasangan kepada JPJ daripada keseluruhan 513,679 kenderaan yang diwajibkan berbuat demikian.
Beliau berkata, berdasarkan rekod JPJ, terdapat 495,827 kenderaan barangan berat dengan berat maksimum melebihi 3,500 kilogram (kg) serta 17,852 buah bas berkapasiti lebih lapan penumpang dengan berat maksimum melebihi 5,000 kg di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 439,127 kenderaan atau 85 peratus masih belum memasang SLD,” katanya pada sidang akhbar program Ihya Ramadan Akrab JPJ dan Komuniti di Terminal Bas Seksyen 17 di sini, malam ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, JPJ telah melaksanakan Operasi Khas Penguatkuasaan SLD bermula 1 Oktober 2025 hingga 12 Mac lalu yang melibatkan pemeriksaan terhadap 111,743 kenderaan perdagangan di seluruh negara.
“Hasilnya, 8,924 kenderaan dikenakan tindakan Notis Temu Siasat (114) atas pelbagai kesalahan berkaitan pematuhan serta kefungsian peranti had kelajuan itu,” jelasnya.
Menurut beliau, pemasangan SLD sepatutnya dipatuhi semua operator memandangkan penguatkuasaan peraturan itu telah diumumkan sejak tahun 2020.
“Antara punca pematuhan rendah ialah terdapat syarikat yang memohon penangguhan pemasangan susulan kekurangan peranti tempatan.
“Ada juga yang perlu mendapatkan pemasangan di luar negara, jadi mereka memerlukan sedikit masa dan beberapa isu berkaitan perkara itu sedang kita selesaikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














