KUALA LUMPUR – Serangan udara oleh Israel Defense Forces (IDF) dilaporkan berlaku berhampiran kedudukan pasukan Malbatt 850-13 yang menyertai misi pengaman United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) di selatan Lebanon awal pagi tadi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 2.35 pagi waktu tempatan apabila satu serangan udara berlaku berhampiran Pos Kawalan dengan jarak dianggarkan 100 hingga 200 meter dari penempatan pasukan Malbatt 850-13.
Menurutnya, serangan tersebut dipercayai menyasarkan sebuah jambatan yang melintasi Sungai Litani.
“Serangan susulan dilaporkan berlaku pada pukul 3.02 pagi yang mengakibatkan kerosakan terhadap beberapa fasiliti serta penginapan anggota di kawasan Pos Kawalan tersebut.
“Ketika kejadian, seorang pegawai bersama lapan anggota lain-lain pangkat Malbatt 850-13 yang berada di Pos Kawalan telah diarahkan oleh Pusat Operasi Taktikal (TOC) Malbatt untuk berundur sebagai langkah keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan berkenaan kemudiannya bergerak bersama 12 anggota Angkatan Tentera Lubnan ke lokasi selamat dan tiba dengan selamat kira-kira pukul 4.12 pagi waktu tempatan.
Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan melibatkan anggota Malbatt mahupun pasukan Angkatan Tentera Lubnan (LAF) dan semua persenjataan serta peralatan yang dibawa berada dalam keadaan selamat.
Tambah beliau, pemeriksaan kesihatan turut dijalankan oleh pegawai perubatan bagi memastikan semua anggota berada dalam keadaan baik dan terus berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi.
“Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa keselamatan anggota Angkatan Tentera Malaysia yang melaksanakan misi pengaman di luar negara sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.
“Kementerian melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau perkembangan situasi di kawasan operasi dengan teliti serta bekerjasama rapat dengan pihak UNIFIL dan rakan-rakan pasukan pengaman lain bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terpelihara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














