TRAS ditubuhkan dengan satu misi yang jelas – untuk menjadikan pembiayaan kenderaan lebih mudah, pantas dan telus bagi pengguna serta keseluruhan ekosistem automotif.
Menyedari peningkatan kerumitan aliran kerja pembiayaan dan tekanan operasi yang dihadapi oleh pengedar, Tras membangunkan sebuah platform yang menghubungkan pengedar, bank dan pelanggan secara lebih cekap dan tersusun.
Disokong oleh DRB-HICOM, salah satu kumpulan syarikat yang terlibat dalam sektor automotif yang paling kukuh dan dipercayai di Malaysia, Tras menggabungkan kecekapan teknologi kewangan (fintech) dengan kredibiliti institusi, kepakaran industri serta visi jangka panjang yang kukuh.
Sokongan ini memberikan keyakinan kepada rakan niaga bahawa Tras bukan sekadar penyelesaian jangka pendek, sebaliknya sebuah platform yang boleh dipercayai dan dibina untuk kerjasama jangka panjang serta pertumbuhan yang boleh diskalakan.
Sejak dilancarkan pada 9 September 2025, Tras telah menunjukkan kadar penerimaan yang memberangsangkan dalam kalangan rangkaian pengedar dan rakan strategik.
Platform ini telah merekodkan lebih daripada 59,000 lawatan ke laman web, mencerminkan minat pasaran yang kukuh dan peningkatan kesedaran dalam ekosistem automotif.
Ketua Pegawai Eksekutif Tras, Kazrin Khairul Anuar berkata, Tras menghubungkan pelanggan, pengedar dan bank dalam satu sistem, membolehkan permohonan pembiayaan dihantar kepada tiga institusi kewangan rakan strategik secara serentak iaitu Bank Muamalat, Maybank dan AmBank.
Setakat tahun lalu, ia mencatat lebih 11,000 permohonan pembiayaan, dengan lebih 2,000 daripadanya telah pun menerima pembiayaan melibatkan nilai terkumpul sekitar RM160 juta.
Menurut Kazrin, purata nilai pembiayaan diluluskan adalah sekitar RM80,000, dengan majoritinya daripada rangkaian pengedar EON khususnya bagi model Proton seperti Saga, X50 dan X70 yang menyumbang jualan tinggi.
Kadar kelulusan pembiayaan di Tras ialah 55 peratus, sedikit lebih tinggi daripada purata industri sekitar 50 peratus. Namun bagi Kazrin, angka itu masih boleh diperbaiki dan salah satu tumpuan bagi 2026 adalah untuk membantu pelanggan ‘borderline’ iaitu mereka yang hampir layak tetapi gagal beroleh pembiayaan kerana skor kredit yang tidak mencukupi.
“Kami sedang berbincang dengan pihak bank untuk membantu kumpulan pelanggan ini. Bank memiliki kuota untuk memberikan pembiayaan kepada pelanggan borderline dan kami berharap permohonan menerusi Tras akan diberi kuota yang lebih,” katanya.
Lebih menarik, permohonan pembiayaan menerusi Tras bukan sahaja percuma, malah mampu memberikan kadar lebih rendah berbanding memohon terus di cawangan bank.
Jadi mereka yang berminat untuk membeli kenderaan baharu seharusnya tidak perlu berfikir panjang untuk cuba memohon pembiayaan menerusi Tras kerana perbezaan bayaran bulanan hanya RM10 boleh menghasilkan penjimatan lebih RM1,000 bagi pembiayaan bertempoh 9 tahun.

Prosesnya juga ringkas dan mudah dilakukan pada bila-bila masa, dan di mana sahaja.
“Tras mampu menawarkan kadar pembiayaan kompetitif kerana kami menyediakan volum yang baik kepada pihak bank.
“Disebabkan servis ini percuma, memang ada golongan hanya sekadar ‘mencuba-cuba’ memohon pembiayaan untuk melihat berapa bayaran bulanan yang bakal dikenakan kepada mereka bagi model tertentu.
“Namun jumlahnya tidak ramai kerana ia melibatkan penyerahan maklumat yang dianggap sensitif, jadi mereka yang memohon pembiayaan di Tras biasanya adalah golongan yang benar-benar berkeinginan untuk mendapatkan pembiayaan,” jelas Kazrin.
Tambah beliau, permohonan pembiayaan menerusi Tras terbuka untuk pembelian sebarang model kenderaan dari mana-mana jenama dan Tras sedang berusaha membentuk kerjasama dengan pengedar serta jenama automotif untuk memperluaskan penggunaan kemudahan tersebut.
“Setakat ini inisiatif tersebut menerima respons yang sangat positif kerana antara keutamaan pengedar adalah untuk memastikan pelanggan mereka layak mendapat pembiayaan.
“Semua usaha ini bakal meletakkan Tras sebagai pusat setempat yang memenuhi semua keperluan kewangan di sepanjang perjalanan pemilikan kenderaan oleh rakyat Malaysia merangkumi pembelian, perlindungan, waranti dan pengurusan risiko,” ujar Kazrin.
Tras EWP perkasa ekosistem
Selain pembiayaan, satu lagi produk utama Tras ialah Program Waranti Lanjutan, atau Extended Warranty Program (EWP).
Melalui Tras EWP, pemilik kenderaan boleh melanjutkan perlindungan waranti sehingga dua tahun selepas waranti asal oleh pengeluar tamat, dengan pilihan pembaharuan perlindungan untuk dua tahun lagi, bermakna tempoh perlindungan lanjutan maksimum empat tahun selepas waranti asal.
Perlindungan Tras EWP meliputi komponen utama yang biasanya dilindungi oleh pengeluar. Menurut Kazrin, Tras EWP diwujudkan untuk memastikan pelanggan tidak terbeban dengan kos pembaikan yang besar secara mengejut.
Setakat ini, Tras EWP meliputi jenama yang ditawarkan oleh EON seperti Proton, Mitsubishi, Audi dan Volkswagen, kecuali kenderaan elektrik (EV).
Ia ditawarkan di 20 cawangan EON seluruh negara, dan tidak lama lagi di laman web tras.my, ketika pembelian kereta baharu atau semasa pelanggan menghantar kenderaan mereka untuk diservis, khususnya apabila tempoh waranti asal hampir tamat.
Harganya pula ditentukan berdasarkan model dan kapasiti enjin, serta boleh dimasukkan dalam pembiayaan kenderaan.
“Selain ketenangan fikiran yang mungkin sukar dinilai dengan wang ringgit, manfaat utama Tras EWP ialah kelebihan dari sudut nilai jualan semula. Biasanya, kenderaan yang mempunyai waranti lanjutan lebih menarik kepada pembeli kereta terpakai dan mampu mengekalkan harga tinggi.
“Perbezaan nilai antara kenderaan yang memiliki waranti dengan yang tidak lagi dilindungi boleh mencecah antara RM1,000 dan RM3,000 bagi model asas seperti Proton Saga, sedangkan kos mendapatkan perlindungan Tras EWP bagi model sama adalah di bawah RM1,000; atau serendah 24 sen sehari.
“Dalam banyak kes, pulangan daripada nilai jualan semula lebih tinggi daripada kos yang dibayar. Ini menjadikan Tras EWP bukan sekadar perlindungan, tetapi juga satu bentuk pelaburan.
“Kami sedang menggiatkan usaha untuk meningkatkan kesedaran pengguna melalui pengedar dan pusat servis, selain membentuk kerjasama dengan pengedar dan jenama automotif lain untuk memperluaskan penawaran program ini. Tidak lama lagi, Tras EWP akan turut menawarkan perlindungan untuk EV,” jelasnya.














