PUTRAJAYA – Bekalan makanan negara seperti beras, daging, ayam, susu segar, sayur, telur dan buah-buahan dilaporkan mempunyai stok mencukupi bagi menampung keperluan rakyat sekurang-kurangnya sehingga Jun depan.
Susulan itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menasihatkan orang ramai supaya tidak panik berikutan bekalan makanan masih mencukupi termasuk menjelang sambutan Aidilfitri.
“Buat masa ini jangan kita bimbang apa-apa, kita sambut Hari Raya secara tenang dan konsep berjimat cermat terus kita jalankan seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Keadaan beras, ayam, telur, ikan, daging lembu, kerbau, susu segar, sayur, buah-buahan, semuanya cukup sekurang-kurang sampai bulan lima dan bulan enam yang akan datang.
“Oleh itu rakyat tidak perlu panik apa-apa. Bagaimanapun, pihak kementerian mengambil perhatian khusus untuk kita misalnya memperbanyakkan sayur dan juga ikan dan sebagainya dalam pasaran,” katanya pada sidang akhbar khas di Kementerian Komunikasi di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














