fbpx
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin bersama warga Agrobank dan para tetamu yang terdiri daripada keluarga dengan anak autisme pada majlis pelancaran semalam.

Agrobank angkat kesedaran autisme melalui video raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Agrobank semalam melancarkan video raya korporat bertajuk ‘Maaf Saya …’ yang membawa mesej empati, penerimaan dan kesedaran terhadap kumpulan autisme serta kepelbagaian neuro dalam masyarakat.

Ia mengetengahkan kisah sebuah keluarga yang berdepan cabaran membesarkan anak autisme, sekali gus mengajak masyarakat untuk lebih memahami bahawa setiap individu mempunyai keunikan tersendiri yang wajar dihargai dan diraikan.

Istimewanya, video ini menampilkan pelakon terkenal tanah air, Que Haidar sebagai teraju utama yang membawa watak seorang bapa yang melalui perjalanan emosi dalam memahami dan menerima keunikan anaknya.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, video raya Agrobank tahun ini bukan sekadar karya sempena sambutan Aidilfitri, malah membawa mesej sosial yang lebih mendalam.

“Golongan neurodiversiti amat dekat di hati kami di Agrobank. Malah sebelum penghasilan video raya kali ini, kami telah mengangkat karya seni daripada golongan neurodiversiti melalui penghasilan barangan korporat syarikat.

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen kami dalam menyokong dan meraikan kepelbagaian bakat dalam masyarakat,” katanya pada majlis pelancaran.

Tambah beliau, Agrobank turut menganjurkan kempen khas dengan menawarkan pembukaan akaun tanpa deposit kepada 300 kanak-kanak autisme terawal di seluruh Malaysia.

“Kanak-kanak ini juga akan menerima pelan perlindungan kemalangan diri Agro Nurani secara percuma, dengan perlindungan sehingga RM11,500.

“Ini bertujuan untuk menggalakkan keterangkuman kewangan serta memberi peluang kepada kanak-kanak autisme dan keluarga mereka untuk memulakan perjalanan kewangan yang lebih terancang bersama Agrobank,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI