KLANG – Seorang peniaga yang dipercayai merempuh dua penembak bermotosikal sehingga menyebabkan seorang daripada mereka maut dalam kejadian di Kapar sehingga tular dalam media sosial didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, R. Ganesalingam, 49, yang memakai baju berkolar hijau dan seluar jeans biru lusuh hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret A. Khartiyayini. Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap K. Tinesh Kumar, 33, di hadapan simpang masuk Taman Seri Kapar, Batu 12, Jalan Keretapi Lama, Kapar pada pukul 9.46 hingga 9.47 pagi, 5 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Syuhada Rosli memohon tarikh baharu bagi serahan laporan forensik, manakala tertuduh diwakili peguam, Nathiya Kamalanathan yang menyebut bagi pihak seorang lagi peguam, V. Ayasamy.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 April depan.
Sebelum ini Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, siasatan mendapati dua lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dipercayai melepaskan tembakan ke arah pemandu lori di Kampung Perepat sebelum mereka dikejar majikan pekerja terbabit hingga ke Jalan Keretapi Lama.
Suspek kemudian melanggar motosikal tersebut apabila salah seorang daripada mereka dipercayai mengacukan objek menyerupai pistol menyebabkan mereka terjatuh dan terseret di simpang masuk Taman Sri Kapar. – KOSMO! ONLINE














