PETALING JAYA – Orang ramai sanggup beratur panjang seawal pukul 8 pagi untuk menukar duit raya di sebuah cawangan bank di Segamat semalam.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh @Norsyahril di Facebook, kelihatan orang ramai beratur panjang dari luar bank serta tempat letak kereta di kawasan berkenaan.
“Hari ini pukul 8.30 pagi, ramai yang sudah beratur untuk membuat pertukaran duit raya walaupun masa pertukaran dijadualkan bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari,” ujarnya.
Katanya, dia menganggarkan lebih kurang 200 orang datang untuk menukar duit raya dan mereka telah diberikan borang terlebih dahulu serta memberitahu bahawa pertukaran duit hanya akan bermula pukul 10 pagi.
Katanya, apabila pintu bank dibuka dan pelanggan masuk ada juga yang cuba potong barisan dan ada pelanggan yang beritahu supaya jangan memotong barisan.
“Sebelum terjadi apa-apa, saya beritahu semua harap bersabar, kekal tenang dan mohon jaga emosi ya,” tegasnya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata orang ramai memuji rakyat malaysia kebanyakannya mempunyai wang yang banyak.
“Kaya-kaya orang Malaysia ini, saya bangga,” kata pengguna Zukifli.
Sementara itu, orang ramai turut bertanya sama ada tempoh penukaran duit raya ini mempunyai had atau bergantung kepada stok yang disediakan pihak bank. – KOSMO! ONLINE














