MELAKA – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menyalahgunakan geran sokongan sektor kebudayaan berjumlah RM30,000 yang diperuntukan bagi penganjuran Program Pesta De San Pedro 2024.
Tertuduh, Sara Frederica Santa Maria, 56, dan suaminya, Sikim Gompongan, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama-sama menyalahgunakan harta iaitu wang peruntukan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan berjumlah RM30,000 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 26 Jun 2024 hingga 25 September 2024 di CIMB Bank Berhad Cawangan Taman Melaka Raya, dalam daerah Melaka Tengah.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun serta dengan sebatan, dan juga boleh dikenakan denda.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Syakila Yaacob menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.
Peguam, Cassian Anthony yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan pasangan suami isteri itu mempunyai empat orang anak dan bergantung kepada sumber pendapatan yang terhad, selain turut berdepan masalah kesihatan. – KOSMO! ONLINE














