fbpx
Dzulkefly menjawab soalan berhubung isu buli petugas kesihatan di Dewan Negara hari ini - Foto JAPEN

Menteri Kesihatan sebak jawab isu doktor hospital jadi mangsa buli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad sebak ketika menjawab soalan berhubung isu buli terhadap pegawai perubatan di hospital sehingga mengakibatkan kematian.

Menurutnya, walaupun hanya satu kes berlaku, ia sudah cukup untuk menjadi ‘wake-up call’ kepada semua pihak dalam sistem kesihatan negara.

“Tidak perlu ramai. Satu pun sudah cukup untuk membuatkan kita semua tersedar,” katanya ketika menjawab soalan Senator Mohd. Hasbie Muda berhubung isu berkenaan di Dewan Negara di sini hari ini.

Dzulkefly dalam nada sebak juga memetik firman Allah SWT bahawa menyelamatkan satu nyawa seolah-olah menyelamatkan seluruh umat manusia.

Justeru, beliau menegaskan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk buli di fasiliti kesihatan.

Menurutnya, semasa penggal pertama beliau sebagai menteri, tindakan tegas pernah diambil terhadap seorang ketua jabatan di sebuah hospital besar selepas siasatan dalaman dan siasatan bebas mendapati wujud salah laku.

“Saya sendiri mengesyorkan supaya beliau dipecat dan akhirnya tindakan itu dilaksanakan walaupun beliau berada pada kedudukan yang sangat tinggi dalam perkhidmatan,” katanya.

Dzulkefly turut menjelaskan, beberapa kes berkaitan budaya kerja tidak sihat dan buli telah dilaporkan sebelum ini termasuk di Lahad Datu, Kuala Krai serta hospital di Pulau Pinang dan Ipoh.

“Walaupun tidak semuanya melibatkan kematian, ada kes yang sampai ke tahap aduan rasmi dibuat oleh pegawai perubatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengulangi mesejnya kepada seluruh kepimpinan fasiliti iaitu setiap petugas kesihatan berhak bekerja dalam persekitaran profesional, selamat dan bermaruah.

“Kita tidak boleh merawat rakyat dengan ihsan jika sistem kita gagal memberikan ihsan kepada petugas kita sendiri,” tegasnya.

Ujar beliau, pengarah hospital, ketua jabatan dan pengarah Jabatan Kesihatan Negeri bertanggungjawab memastikan budaya kerja yang adil serta harmoni diwujudkan.

Tegasnya, setiap aduan wajib disiasat segera tanpa kompromi atau cubaan melindungi mana-mana individu.

Beliau memaklumkan, kes seperti itu disiasat oleh pihak polis selain siasatan dalaman kementerian bagi menentukan fakta sebenar.

“Sekiranya terdapat unsur buli yang jelas dan terbukti meragut nyawa, saya tidak akan berkompromi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN