KUALA LUMPUR – Hanya sebanyak 166 kes tunggakan nafkah berjaya diselesaikan melalui perintah kes hiwalah (perintah pengkomitan) sejak tahun 2022 hingga 2025.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, pelaksanaannya berdepan pelbagai cabaran yang menyukarkan proses penguatkuasaan oleh pihak berkuasa syariah.
Kata beliau, antara cabaran utama adalah kurang kerjasama daripada penghutang penghakiman yang menyukarkan pihak mahkamah mengesan maklumat terkini berkaitan majikan serta akaun bank mereka.
“Selain itu, terdapat juga kes di mana jumlah wang dalam akaun penghutang tidak mencukupi untuk melunaskan tunggakan nafkah seperti yang diperintahkan oleh mahkamah,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Dr. Jufitri Joha pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Marhamah berkata, terdapat juga situasi di mana jenis akaun penghutang tidak dinyatakan dengan jelas sama ada menggunakan skim perbankan Islam atau konvensional sekali gus menyukarkan proses pelaksanaan perintah hiwalah.
Beliau turut menjelaskan bahawa cabaran lain timbul apabila majikan penghutang adalah syarikat swasta atau bukan beragama Islam yang kadangkala enggan terikat dengan perintah mahkamah syariah.
“Dalam sesetengah kes, majikan juga menerima nasihat daripada peguam atau bahagian perundangan organisasi masing-masing bahawa perintah tersebut tidak mengikat mereka,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, JKSM edang berusaha memperkasakan undang-undang sedia ada serta mengkaji penambahbaikan agar kerjasama majikan dapat dipastikan melalui saluran perundangan yang lebih jelas.
Pada masa sama, katanya, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) JKSM giat melakukan pemantauan bagi memastikan pembayaran nafkah kepada bekas isteri berjalan lancer termasuk melalui mekanisme potongan gaji dan sesi libat urus bersama majikan.
Marhamah turut menyeru majikan khususnya yang beragama Islam supaya menjadi pemudah cara dalam membantu pelaksanaan perintah nafkah.
“Janganlah menjadi rantaian kezaliman kepada keluarga yang sedang melalui ujian ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














