fbpx
JEMAAH haji melontar jamrah di Mina semalam. – AFP

Ibadah haji selesai, ribuan jemaah tinggalkan kota suci Mekah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEKAH – Beribu-ribu umat Islam mula meninggalkan kota suci Mekah hari ini selepas selesai menunaikan ibadah haji dalam cuaca panas terik dan di sebalik situasi perang di rantau Asia Barat.

Tahun ini, lebih 1.7 juta orang dari 165 negara mengambil bahagian dalam ibadah haji, dengan latar belakang konflik yang tercetus akibat  serangan Amerika Syarikat(AS)-Israel ke atas Iran.

Sejak perang meletus pada Februari lalu, Tehran melancarkan gelombang serangan dron dan peluru berpandu dengan membedil infrastruktur serta prasarana tenaga di seluruh rantau Teluk, termasuk di Arab Saudi, di mana Mekah berada.

Lebih 30,000 rakyat Iran melakukan perjalanan ke Mekah pada musim haji kali ini, kira-kira satu pertiga daripada 86,000 jemaah yang dijangka pada awalnya. Agensi berita Iran,  IRNA berkata, ‘situasi perang’ menjadi punca penurunan jumlah itu.

“Sukar mempercayai bahawa  saya telah selesai menunaikan haji,” kata Ahmed Mamdouh iaitu warga Mesir berusia 37 tahun yang menunaikan haji buat kali pertama.

Menahan tangis, dia menambah: “Saya sangat gembira kerana saya telah menyelesaikan ibadah ini dengan selamat. Haji sungguh memenatkan, terutamanya dalam cuaca panas seperti ini.”

Jemaah haji Algeria yang dikenali sebagai Al-Zaoui, 74, memautkan tangan pada  isterinya dan berkata, “Adalah impian kami untuk menunaikan haji bersama-sama. Impian ini  menjadi kenyataan selepas 50 tahun kami berkahwin.”

Hari ini, jemaah haji akan menamatkan hari ketiga melontar jamrah di Mina. Mereka  kemudian menaiki bas ke Masjidil Haram di Mekah untuk melakukan tawaf selamat tinggal.

Selepas lebih 1,300 orang meninggal dunia semasa haji 2024 ketika suhu melonjak melebihi 50 darjah Celsius, pihak berkuasa Saudi memperkenalkan langkah-langkah mitigasi haba, termasuk lebih banyak kawasan teduh dan ribuan pekerja kesihatan tambahan.

Persatuan Bulan Sabit Merah Saudi berkata semalam bahawa pihaknya telah menyediakan perkhidmatan kecemasan kepada ‘lebih 83,000 orang sejak permulaan musim haji’. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN